Thursday 9 August 2012

Ennahda, FJP, & PAS: Ketika Rakyat Beri Mandat Tubuh Kerajaan

Menang Pilihanraya
Sejak peristiwa ‘Arab Spring’ hampir dua tahun yang lalu, saya mula mengambil sedikit sebanyak perhatian mengenai perkembangan politik di Timur Tengah.

Sewaktu Ennahda menang di Tunisia, saya berada di Australia. Dan sepertimana biasa media orang putih, akan ada wawancara bersama pemerhati politik yang akan menggunakan pembuka ayat “I think…”, berbicara mengenai “rise of the Islamists”, “Islamophobia” dan macam – macam benda lagi.

Pada masa yang sama, banyak pihak menjadi tak senang duduk bila dikhabarkan parti Islam menang pilihanraya, dan mula menyatakan keresehan di kaca mata televisyen.

Perkara sama berlaku di Mesir; apabila FJP memegang majoriti kerusi parlimen dan Dr. Morsi dari FJP mendapat mandat menjadi presiden, ramai orang tidur tak lena sebab FJP berkuasa, dan FJP adalah Ikhwan Muslimin. Maka berulang sekali lagi wawancara “rise of the Islamists” dan “Islamophobia”. Dan banyak pihak juga resah mengenai kepimpinan Dr. Morsi ekoran lawannya Ahmad Syafiq ada pengalaman mentadbir negara.

Situasi seperti ini saya sudah jangkakan dari awal, sebab lumrah manusia berasa tidak selesa dengan benda baru pada peringkat awalnya, apatah lagi parti – parti Islam di serata dunia termasuk Ikhwan Muslimin dilabel sebagai pengganas, pemisah, ekstremis, dan macam – macam lagi.

Sebab yang kedua, senario ini saya dah perhatikan di Malaysia. Sewaktu PRU-12 pada tahun 2008, saya berada di UiTM. Dan pilihanraya tahun melihat kebangkitan pihak pembangkang hatta menang di lima negeri. Di Perak khususnya, pemegang majoriti kerusi ialah DAP, tetapi menteri besarnya dari PAS (Ir. Nizar). Maka macam – macam label menimpa PAS, antaranya dituduh menjadi kuda tunggangan DAP, hilang matlamat sebab berpakat dengan kafir harbi, memecah belahkan Melayu, dan banyak lagi.

Tubuh Kerajaan
Pagi ini saya baca satu artikel di Harakahdaily mengenai perkembangan semasa di Mesir (KLIK DI SINI). Parti Salafi Al-Nour ‘kecil hati’ Dr. Morsi memberi keutamaan kepada golongan teknokrat dan bukannya golongan ideologis yang mendominasi Al-Nour untuk menjawat jawatan menteri.

Di Malaysia pun pernah berlaku perkara sama; pembahagian jumlah kerusi Exco antara DAP, PKR, dan PAS di Selangor dan Perak. Nisbah kali pertama, satu pihak tidak perkenan. Runding punya runding, akhirnya bersetuju. Di Perak, PAS hanya mendapat satu kerusi Exco.

Di Tunisia, ramai orang risau bila ditubuh kerajaan baru, maka banyak perniagaan akan tergugat ekoran bercanggah dengan syariat. Namun Ennahda memberitahu bahawa isu – isu itu bukan tugas utama mereka pada peringkat awal ini. Isu yang lebih penting ialah membersihkan kerajaan Tunisia terlebih dahulu. Hal itu kemudian cerita.

Hakikatnya, tidak ada manusia yang apabila melakukan sesuatu perkara baru buat kali pertama dia terus cerdik. Ibarat graf PID Controller, dia akan melalui satu tempoh bergoyah sebelum lancar urusannya. Cuma yang membezakan antara manusia ialah tempoh goyahnya.

Sewaktu semua orang risau dengan perkembangan di Perak, saya pernah memberi komen bahawa situasi ini ibarat memandu kereta baru. Enjin kereta baru sewaktu 1000 kilometer pertama amatlah kasar bila dipandu. Ini kerana injap, piston semua ketat – ketat belaka dan minyak pelincir tak meresap sepenuhnya. Jadi kena pandu perlahan – lahan. Selepas servis pertama, enjin akan lancar sedikit demi sedikit dan selepas 5000 – 10000 kilometer, lancar habis enjin. Enjin itu kerajaan Perak, pemandunya Mat Nizar, kereta itu sendiri ialah negeri Perak. Rakyat penumpangnya.

Hakikatnya Parti Islam
Dah nama pun parti Islam, menjadikan Islam sebagai wadah perjuangan sudah tentu di sepanjang hayatnya akan bertemu dengan tempoh tidak disukai, disusuli dengan tempoh kurang percaya, seterusnya membawa kepada tempoh dikenali, dan akhirnya membawa kepada tempoh disokong, insyaAllah.

PAS sudah melaluinya. Dari tidak disokong kepada diberi mandat tetapi masih dipersoalkan, kemudiannya mula dikenali, dan kini disokong bahkan oleh bukan Islam termasuk juga rakan - rakan mereka dalam DAP.

Mana – mana parti Islam di dunia ini akan melaluinya jika mereka kekal di atas landasan dan ikhlas membawa Islam sebagai wadah perjuangan mereka di atas pentas politik. Apatah lagi dalam dunia hari ini yang mana Islam berada di dalam era “kembali asing” dan kini sedang membangun dan didekati oleh pelbagai pihak.

Lihat di Turki. Sewaktu rakyat memberi mandat kepada Parti AKP, rakyat Turki yang pada masa itu kuat pegangan sekularis masih ‘kurang percaya’ dengan kerajaan baru mereka. Isteri Abdullah Gul, perdana menteri sewaktu itu memakai tudung di khalayak ramai pun dijadikan isu, pihak tentera ugut rampas kuasa jika membawa Islam ke dalam perlembagaan. Namun berlalunya masa, rakyat mempercayai AKP, hatta sedikit demi sedikit sokongan terhadap mereka meningkat pada setiap musim pilihanraya.

InsyaAllah, mana – mana parti Islam yang diberi mandat memerintah sungguhpun kuat tentangan pada peringkat awalnya jika diizinkan Allah untuk kekal lama akan disokong oleh orang ramai pada akhirnya.