Tuesday 8 February 2011

Profesionalisme vs Personalisme: Di Antara Penilaian Matang & Penilaian Bernafsu

Di dalam hal berbicara, ada macam - macam ragamnya. Ada yang berbicara dengan matang, profesional, berhikmah (tegas...bukan jadi pondan). Dan ada juga yang berbicara dengan penuh ego, menurut nafsu, dan menurut perasaan.

Kita sedia maklum, orang yang berbicara secara profesional sudah tentu tenang, jelas di dalam berkata - kata, serta menggunakan hujah - hujah yang relevan.

Dan kita sedia maklum, orang yang berbicara menurut perasaan sudah tentu kelam kabut, penuh emosi kata - katanya, serta menggunakan hujah - hujah yang tak masuk akal. bahkan jika penuh dengan ego, boleh jadi dia akan mencabar untuk berdebat, dengan memperjelaskan bahawa dia mempunyai tauliah yang diiktiraf.

Ini adalah ringkasan sifat - sifat seorang penyampai. Namun kita sebagai pendengar, bagaimanakah pula penilaian kita terhadap si penyampai?

Kalau ikut hukum alam, sudah tentu kalau si penyampai tenang, jelas, dan berhujah, dia profesional. Dan kalau si penyampai kelam kabut, menurut perasaan, beremosi, maka dia personal.

Namun, berlaku juga kes di mana kepala si pendengar ni dah masuk air, hatta penilaiannya terhadap si penyampai menjadi putar belit. Yang berhujah macam Barack Obama dia kata tak pandai berucap, bersifat personal. Yang kencing dalam seluar sewaktu di hadapan orang ramai dia kata profesional.

Macam mana tu? Apabila nafsu dan kepentingan politik melanda dirinya...

Kita tidak boleh nafikan bahawa di kalangan masyarakat kita, ada segelintir yang songsang penilaiannya.

Ini biasanya berlaku jika si pendengar mengenali si penyampai tersebut. Berhujah secara profesional macam mana sekalipun, namun jika si pendengar ego, mempunyai perasaan hasad dengki, benci terhadap si penyampai, maka sampai ke mati dia akan mengatakan bahawa si penyampa itu bersifat personal, populis, membawa agenda peribadi.

Namun, jika si pendengar 'kamcing' dengan si penyampai; biarlah pucat wajah, terkencing dalam seluar, menggunakan hujah - hujah tak masuk akal, si pendengar tetap akan mengatakan bahawa si penyampai itu berkaliber, profesional, dan ada ketokohan.

Situasi seperti ini wujud di mana - mana sahaja, dalam apa peringkat/marhalah sekalipun. Ianya wujud di kalangan seangkatan sahabat, di dalam organisasi, gerakan, persatuan, bahkan di dalam alam kerjaya.

Lebih - lebih lagi, perkara ini wujud pada mereka yang terletak dalam golongan B.O.D., barisan kepimpinan, serta mereka yang berpengaruh di dalam membuat keputusan. Penilaian sebegini adalah di antara sifat - sifat orang yang berat sebelah, dan tidak berlaku adil di dalam menghukum sesuatu.

Wahai ketua, wahai pemimpin, wahai amir amirah, wahai rais raisah, wahai CEO, wahai pengarah, wahai presiden, wahai pengerusi,

Tidakkah pada setiap Jumaat khatib memberi amaran kepada anda:



"Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya."
[An-Nahl, 16:90]

Maka, apa lagi hujah anda untuk berat sebelah terhadap orang yang berada di bawah amanah anda? Walaupun dia adalah insan kerdil, wujud atau tidak dirinya tiada maknanya bagimu, namun Allah tetap menyuruhmu berlaku adil pada setiap orang.

Kalau kamu cemburukan dia hanya dia mempunyai kelebihan mengatasi kamu, agamamu mengajar bahawa penyelesaiannya adalah untuk kamu berusaha mencapai 'maqamnya', bahkan lebih dari itu.

Ingatlah, kita semua adalah pemimpin pada marhalah yang tesendiri. Mungkin ada yang belum dinobat sebagai pemimpin, hanya sekadar pegikut, namun tidak ada satu pun hujah yang memberi kita lampu hijau untuk berlaku tidak adil terhadap orang lain.

Nabi S.A.W. bersabda,

"Setiap orang daripada kamu adalah penggembala dan setiap seorang dari kamu akan ditanya perihal penggembalaannya. Pemimpin adalah penggembala dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang lelaki adalah penggembala dalam keluarganya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Seorang wanita adalah penggembala dalam rumah suaminya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Buruh adalah penggembala dalam harta majikannya dan akan ditanya perihal penggembalaannya. Jadi setiap seorang dari engkau semua itu adalah penggembala dan tentu akan ditanya perihal penggembalaannya."