Showing posts with label jenaka. Show all posts
Showing posts with label jenaka. Show all posts

Sunday, 3 May 2009

Mat Rigid vs Mat Sempoi vs Mat Jiwang

Seorang akhi (saudara lelaki) sedang terlantar di rumah kerana demam kuat. Badannya lemah hatta terpaksa memegang dinding ketika berjalan.

Syahadan, datanglah seorang ukhti (saudara perempuan) bertanya kepada beliau,

"Ya akhi, bagaimanakah keadaan anta? Adakah bertambah baik? Jangan lupa makan ubat. Mudah - mudahan anta sembuh..."

Apakah respon akhi tersebut? Mari kita lihat responnya jika beliau salah seorang daripada tiga jenis watak tersebut:

MAT RIGID

"Ana ok aje lah. Enti tak payah sibuk - sibuk nak ambil berat tentang keadaan ana. Biar sahabat - sahabat muslimin yang ambil tahu. Apa kata orang nanti kalau diorang tahu? Nanti diorang ingat wujud perasaan."

MAT SEMPOI

"Alhamdulillah, ana elok aje. Ana demam ni bukannya apa...saja buat lawak. Ana tak payah makan ubat dah. Ana yakin dah sihat...sebab ana tengok bila ana makan, boleh masuk 5 pinggan."

"Itu bukan sihat, akhi...itu nak mampos namanya..."

MAT JIWANG

"Alhamdulillah. Tak sangka enti ambil berat tentang diri ana. Ana bersyukur dapat sahabat macam enti. Syukran laki ya sayyidah. Ana akan berusaha untuk mengembalikan kesihatan ana, kerana ana tahu ada yang ambil berat tentang diri ana. Ianya memberi semangat kepada ana."

Sunday, 22 March 2009

Jenis - jenis batuk

Apabila seseorang itu terbatuk - batuk, itu tandanya kesihatan mereka sedang terjejas. Dan apabila seseorang itu menyedari mereka terjejas dari sudut kesihatan, dia akan bertindakbalas mengikut keadaannya:

Batuk pelajar/mahasiswa
"Uhuk uhuk uhuk!!!"

"Mintak - mintaklah bertahan sampai esok. Boleh aku ponteng sekolah/kuliah..."

Batuk orang miskin
"Uhuk uhuk uhuk!!!"

"Harap - harap aku tak kena tahan kat wad. Tak mampu aku. Anak isteri aku..."

Batuk orang kaya
"Uhuk uhuk uhuk!!!"

(Sambil melihat keluar tingkap)

"Hai...berkilat sungguh kereta aku. Sempat ke aku nak khatam buku panduan tu? Sempat ke aku nak explore kereta aku tu? Tak cukup 1000km lagi, tak boleh drift."

(Berjalan kembali ke meja sambil melihat kertas - kertas di atasnya)

"Hai, petang ni nak jumpa Tan Sri kat Golf Club. Malam esok nak ke New York bincang kontrak dengan Dato'. UHUK UHUK!!! Aiii...apasal lah sakit datang time - time nih? Tak boleh ke datang time Datin tengah membebel???"

Batuk orang beriman
"Uhuk uhuk uhuk!!!"

"Kifarah dosa - dosaku yang lalu...Ya Allah, janganlah matikanku melainkan dalam iman..."

Jenis mana satukah batuk anda?

Fikir - fikirkan...

Thursday, 11 September 2008

'Ajibtu fii Ramadhan

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Umat Islam dahulukala merindui kehadiran Ramadhan...
Tetapi hari ini...
Apatah nasib...
Umat Islam menangisi kehadiran Ramadhan.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Sebelum datangnya Ramadhan...
Masuknya Maghrib buat tak tahu...
Tibanya Ramadhan...
Seawal fajar tertanya - tanya bila Maghrib bakal menjelang.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Sebelum datangnya Ramadhan...
Santapan petang hanyalah sekadar kuih sepinggan...
Teh-O atau kopi secawan...
Tibanya Ramadhan...
Masakan dari seluruh pelusuk dunia...
Memenuhi keempat - empat penjuru meja.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Menjadi kepercayaan sang Melayu...
Roh orang mati akan pulang ke rumah...
Lalu ditabur tepung di pintu masuk...
Menanti jelmaan tapak kaki...
Bilangan cawan terhidang melebihi yang dijamu...
Sebagai santapan kepada si roh...
Sedangkan roh yang beriman memohon kepada Penciptanya...
Agar dapat pulang ke rumah...
Menasihati penghuninya agar beramal...
Lalu berkata Tuhannya...
Tidurlah engkau sepertimana tidurnya pengantin baru.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Katanya Ramadhan bulan ekonomi...
Namun dikala Ramadhan lah...
Perabot dan langsir berganti baru...
Walaupun usia setahun jagung...
Kononnya dah pudar...
Malu nak mengadap mertua...
Kereta juga tak dilupa...
Tak mampu beli baru?
Sport-rim pun jadilah...
Semuanya demi niat yang satu...
Agar orang kampung terharu.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Tiba sepuluh malam terakhir...
Kita diseru mencari Laylatul-qadar...
Menyembah memohon kepada-Nya...
Namun...
Malam Tujuh Likur kita gelarnya...
Mengisi hari - harinya...
Menggantung pelita panjut di keliling rumah...
Kononnya sebagai lampu mendarat...
Buat malaikat datang melawat...
Menyuluh kegelapan malam dengan bunga api dan mercun...
Mengisi kelapangan dikala malam mengadun semperit dan bahulu...
Meraikan Syawal yang bakal menjelang tiba.


Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Sebelas bulan mentekedarah...
Sebelas bulan kulu kelior*...
Sebulan difardhu berpuasa...
Hanya sebulan, weh...
Dituntut juga mantapkan beribadah kepada-Nya...
Namun ibadah mereka tidaklah di masjid...
Pun tidak juga di rumah...
Tetapi di mat'am Mamak 24 jam...
Di bawah lembayung warung tomyam...
Meng-qada' puasa seharian...
Bergelak ketawa sesama teman...
Mengumpat anak dara si Awang...
Mengorat Timah si janda pemilik warung...

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Makin hari makin tua...
Makin tua makin matang...
Tapi sedih kenangkan sang Melayu...
Makin tua makin tak sedar diri...
Tibanya Ramadhan...
Kereta mayat van jenazah jadi mangsa...
Buat sarang ponteng puasa...
Kena cekup pihak berkuasa...
1000 alasan tak berpuasa...
Sedangkan badannya sasa...
Anak - anaknya separuh mati berpuasa...
Lalu terkenang daku kepada si Awang...
Ponteng puasa tak pandai cover...
Seharian berpuasa tak tertahan...
Mc'Donalds Happy Meal jadi habuan...
Bila ditanya apa tujuan...
Jawabnya adik kelaparan...
Sedang Awang anak kelapan...
Dan bongsulah barangsiapa anak kelapan.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...
Apakah sedar atau tidak sang manusia...
Tiadalah Ramadhan itu budaya warna - warni Malaysia...
Tetapi anugerah Allah bagi mereka yang menyembah-Nya...
Lalu sedarlah wahai saudara/i ku...
Ramadhan hanya sekali tiap 12 purnama...
Bersua lagikah Ramadhan selepas ini?
Hanya Tuhan Maha Mengetahui.

Tiba Ramadhan aku kehairanan...


(*): kulu kelior = loghat Perak untuk 'ke hulu ke hilir' (merayau, merewang dll.)

Kerana Kalut Sangat Hendak Berbuka...

Di luar bulan Ramadhan, kalau masuk waktu Maghrib, kita berlengah - lengah nak pergi berwudhu', dan menunaikan solat. Tetapi, sewaktu bulan Ramadhan, Masya-ALLAH!!! Punya rasmi nak berbuka puasa.

Pukul 6 petang, terpampang depan televisyen, bukan nak tengok Jejak Rasul, atau cerita - cerita Indon yang mengarut tu, tetapi nak tengok waktu berbuka puasa. Setengah jam sebelum berbuka, tingkap rumah dibuka seluas - luasnya, sebab nak dengar azan masjid berdekatan. Kalau masjid jauh, maka dibuka radio kuat - kuat.

Sepuluh minit sebelum waktu berbuka, seluruh penghuni rumah dikerah turun duduk di meja makan. Tidak seorang pun boleh buat bising, takut tak dengar bunyi azan. Pada waktu ini juga, mereka akan 'chop' (menempah) lauk - pauk yang ada di atas meja.

Tiba waktu berbuka, maka bermulah 'Perang Dunia' apabila semua orang menyerbu lauk - pauk yang ada di atas meja, takut kena kebas dengan orang lain. Sewaktu makan, semua orang senyap, khusyu' makan (sedangkan nabi ajar kalau makan, bersembanglah. Sebab, waktu inilah kesemua ahli keluarga duduk semeja).

Lalu berulanglah corak ini sepanjang bulan Ramadhan.

Pada tahun 1960-an, berlaku suatu peristiwa yang amat 'mengerikan' yang berpunca daripada kekalutan hendak berbuka puasa, bertempat di masjid sultan di Kelang, Selangor. Pada waktu itu, isyarat masuknya waktu Maghrib ialah dengan melancarkan meriam diraja, apatah lagi di masjid sultan, meriam sultan lah (pada hari ini, di sesetengah tempat seperti Perak, khususnya Kampar, Kuala Kangsar, isyarat masuk waktu Maghrib ialah dengan membunyikan siren selama 1 minit).

20 minit sebelum berbuka, semua jemaah masjid sudah duduk mengadap talam makan. Oleh kerana 'azan' akan dikumandangkan oleh skuad meriam, maka tiada sesiapa pun yang terfikir nak tengok jam, termasuk tok imam, tok bilal, dan tok siak.

Lalu berbunyilah meriam, dan semua jemaah pakat berbuka (baca: serbu talam). Selesai makan dan minum, semua bersiap hendak solat. Tiba - tiba...

Berbunyilah meriam buat kali kedua. Lalu diperiksalah apa puncanya meriam dilepaskan buat kali kedua. Adakah Malaya diserang? Rupa - rupanya...

Letupan yang kedua menunjukkan telah masuk waktu Maghrib. Letupan yang pertama tadi datangnya dari kampung berhampiran; sekumpulan kanak - kanak sedang bermain meriam buluh.

Lalu sia - sialah puasa seharian jemaah tersebut, kerana telah 'berbuka' lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Terpaksalah qada' puasa pada hari tersebut.

Oleh itu, janganlah gelabah, janganlah kalut apabila hendak berbuka. Andai sekiranya waktu Maghrib engkau tak pernah terkejar - kejar nak tunaikan, janganlah engkau gatal - gatal nak terkejar - kejar berbuka puasa. Tak lari ke mana lauk itu.

Kalau takut tak sempat berbuka kerana terperangkap di dalam traffic jam, jangan risau - risau. Sediakan bekalan kurma di dalam kenderaan, andai masuk waktu Maghrib sewaktu sedang memandu. Apatah lagi apabila kerja/kuliah habis pukul 7 petang.
Sesungguhnya Ramadhan menguji kesabaran umat Islam di dalam pelbagai aspek, samada yang kita sedar tentangnya, atau tidak.