Wednesday, 4 January 2012

Azhar Idrus & Malam Tahun Baru

Pertama - tama sekali saya ucapkan tahniah kepada para penganjur program Sambutan Tahun Baru di Dataran Kemerdekaan Shah Alam baru - baru ini, terutama sekali sahabat - sahabat saya yang turut berada di antara baris - baris terhadapan.

Saya tergerak untuk menulis di sini kerana saya agak 'kecewa' sedikit dengan beberapa komen yang saya jumpa merata - rata di internet yang lebih mempersoalkan lebih tentang hal - hal teknikal berbanding dengan outcome program tersebut.

Antara yang saya terbaca adalah persoalan meraikan selebriti - selebriti seperti Zizan Raja Lawak sedangkan dahulunya bukan main menghentam rancangan - rancangan realiti di televisyen yang mana lahirnya watak Zizan.

Dan yang lagi satu yang membuat saya cukup geram adalah persoalan ustaz Azhar Idrus bermain gitar, dan dari situ ada yang lebih lanjutnya melabelkan ustaz sebagai agen iblis, dakyah haram dsb..

Persoalan hadirnya Zizan Raja Lawak sebagai tetamu undangan; tergerak saya nak perhalusi situasi ini. Maharaja Lawak...atau entah apa lagi nama rancangan loyar buruk kat TV tu, secara jelas adalah lagha dan tidak ada unsur - unsur yang boleh membawa penontonnya mendekati dan ingat kepada Allah S.W.T..

Adakah apabila Zizan muncul di Dataran Kemerdekaan Shah Alam beliau membawa sekali panji Maharaja Lawak? Kali terakhir saya lihat, tak ada pun nama Maharaja Lawak Roadshow. Yang terpapar hanyalah Countdown 2012 yang mana majoriti tetamu undangan adalah para ustaz.

Apakah di dalam sesuatu majlis yang mana majoriti tetamunya adalah para ulamak maka kesannya terhadap penonton dan pengunjung adalah sama seperti rancangan - rancangan televisyen yang lagha belaka itu? Sudah tentu tidak. Sebab apa? Sebab ada orang yang mengingatkan di dalam majlis itu. Macam mana gayanya manusia sekalipun, apabila berdepan face-to-face dengan para ustaz tetap akan merendah diri tanpa disedari.

Lagipun, saya kenal benar sahabat - sahabat saya yang terlibat dalam program ini; cerdik - cerdik belaka, tahu pemikiran dan mentaliti orang awam, tahu bagaimana nak mendekati orang, dan ada kesedaran untuk tidak melalaikan orang.

Seterusnya...

Saya bukanlah pengikut tegar ustaz Azhar Idrus. Jujurnya, saya pengikut tegar ustaz Shahrir Long dan Ismail Kamus. Namun saya masih mendengar kuliah ustaz Azhar Idrus dari masa ke semasa, bahkan nama beliau saya sudah biasa dengar seawal tahun 2005.

Dalam setahun dua ini saya telah melihat bagaimana beliau menjadi terkenal sedikit demi sedikit hingga mencapai tahap yang kita lihat pada saat dan ketika ini. Dan apa yang menarik perhatian saya, yang mengikuti kuliah - kuliah beliau terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat dengan pelbagai ragam.


Bermakna beliau ada pengaruh untuk menarik macam - macam jenis orang...tak terhad kepada geng - geng yang bawa kitab kuning dan buku haraki kulu kelior. Mengingatkan saya kepada ustaz Akhil Hayy sekitar 2003 - 2005 dahulukala.

Soal beliau bermain gitar saya tak nak berdalil oleh kerana saya kurang kekuatan ilmu berkenaan syarah hadith berkaitan hiburan. Cuma apa yang boleh saya katakan selama ini saya berpegang dengan pandangan Dr. Yusuf Qardhawi yang mengatakan bahawa alatan muzik itu halal selama mana ianya tidak membawa kepada kelalaian.

Apa yang ingin saya tekankan, yang sepatutnya dibincangkan dalam isu ini bukannya mengenai dalil ustaz Azhar bermain gitar because seriously...tak ada manfaatnya berhujah ala maqam tinggi sedangkan yang baca dan cuba faham pangkal hulunya adalah orang biasa.

Yang sepatutnya diutarakan adalah konsep program itu sendiri; objektif dan hasilnya. Kita melihat sendiri 70,000 orang berkumpul untuk menyambut tahun baru dan dihidangkan dengan pengisian agama, hiburan yang tidak melalaikan. Tidakkah ini lebih baik daripada melalak bersuka ria di Dataran Merdeka Kuala Lumpur, atau melompat - lompat atas kereta orang di Gurney Drive Pulau Pinang?

Berdakwah itu perlu di dalam kehidupan manusia, bahkan ianya wajib ke atas setiap Muslim (Al-Quran, 3:110). Tapi wujud juga persoalan BAGAIMANA untuk berdakwah. Lain orang lain cara berdakwah, dan lain masyarakat lain pendekatan berdakwah.

Ramai dari kalangan kita apabila sebut dakwah, yang terlintas dalam fikiran; pakai jubah, pakai serban, bawa kitab kuning merata - rata. Not necessarily. Sesiapa pun boleh berdakwah jika dia ada ilmu dan kaedah penyampaian yang boleh diterima.

Ambil kursus kejuruteraan sekalipun, jika reti bab - bab ugama, lebih - labih lagi kalau boleh mengaitkan ilmu - ilmu kejuruteraan dengan taqwa, maka berdakwah lah.

Kalau kita imbas sirah para anbiya':

Kaum Nabi Nuh a.s. terkenal dengan binaan - binaan mereka yang mencakar langit. Maka dakwah Nuh disertai dengan mukjizat yang setanding dengan kehebatan mereka iaitu sebuah bahtera.

Kaum Nabi Musa a.s. terkenal dengan sihir. Maka dakwah Musa disertai dengan mukjizat yang setanding dengan mereka iaitu tongkat yang bertukar menjadi ular, tangan yang bersinar, pembelahan Laut Merah, dan juga siri malapetaka yang dikenali di dunia Barat sebagai The 10 Biblical Plagues.

Kaum Quraisy Makkah terkenal dengan lirik - lirik syair yang menawan hati. Maka dakwah Rasulullah S.A.W. disertai dengan ayat - ayat Al-Quran yang manasusunan bahasanya tidak dapat ditandingi sehingga ke hari ini.

Sebelum saya datang ke Australia dulu, saya aktif dengan aktiviti - aktiviti dakwah di dalam kampus. Kami diberi objektif untuk dilaksanakan. Namun kami juga berdepan dengan mahasiswa yang suka kepada hiburan, dan bersantai di warung.

Dan selama itu saya perhatikan; menganjur kuliah agama di Pusat Islam tidak dapat menarik golongan - golongan ini. Namun bila dianjurkan program - program yang ada hiburan di dalamnya, atau menggunakan nama yang dahsyat - dahsyat, mereka antara yang terawal sampai.

Ajarannya di sini, nak berdakwah kat orang kena pertimbangkan kaedah pendekatan. Orang yang siang malamnya berdamping dengan hiburan, import maulana hebat dari luar negara pun belum tentu dapat mengalih perhatiannya.

Ajaran yang saya dapat selama saya berada di kalangan orang - orang Australia (di universiti saya ada secubit je orang Melayu, dan saya satu - satunya pelajar Malaysia mengambil jurusan Kejuruteraan Elektrik), saya tidak boleh dilihat terlalu Islamik pada peringkat awal berkawan dengan mereka (takde la sampai ke tahap lupa harga diri).

Namun saya mendedahkan keIslaman saya secara berperingkat. Dan Alhamdulillah, pada saat dan ketika ini mereka iktiraf yang saya ini adalah seorang Muslim yang berpegang pada ajaran agama. Kalau kami keluar berjalan bersama - sama, mereka akan pastikan kami pergi makan di tempat yang ada sijil Halal, tidak meminum arak/bir depan saya, dan memastikan waktu - waktu solat saya.

Mudah kan? Lambat iktiraf tetapi dalam keadaan redha lebih baik daripada iktiraf dalam keadaan paksa.

Maka, berdakwahlah secara berperingkat kepada orang - orang yang kurang mengetahui. kenalpasti dulu apa kemahuan mereka, lalu cuba wujudkan satu suasana yang kondusif dan diterima oleh mereka dan juga Islam. Setelah mereka berada di dalam zon selesa dan sedia menerima, maka berilah pengisian yang lebih mendalam sedikit demi sedikit.

Dan janganlah hal - hal teknikal didebatkan menjadi isu ummah. Ada isu ummah yang lebih penting dan utama untuk difikirkan bersama.

That is the nature of da'wah; slow and steady. Muhammad S.A.W. spent 23 years spreading the teachings of Islam, and he is the beloved of Allah. What are we, mere mortals compared to him?

No comments: