Mengapa?
Adakah saya hanya mahukan pahala kambing?
Tidak. Saya sebenarnya mahu memerhatikan Pemegang Mohor Saf Kanak – Kanak menghimpunkan semua kanak – kanak ke dalam satu saf khas di belakang. Setelah tuan Pemegang Mohor masuk saf saya terus bergegas ke saf kanak – kanak tersebut dan menarik seberapa banyak yang boleh untuk ikut saya ke saf depan, termasuk seorang budak yang nampak gaya macam ketua hulubalang kanak – kanak.
Setelah solat, saya bersembang dengan ‘ketua’ tersebut,
Saya: “Berapa umur kamu ni, yob? Dah sunat?”
Dia: “11. Dah.”
Saya: “Dahtu, apa koje kamu sembahyang kat belakang pulak?”
Dia: “Pakcik tu tak bagi.”
Saya: “Lantak je dia tu. Lain kali kamu tunggu dia dah angkat takbir, lepas tu lari ke depan. Budak – budak nak sembahyang dengan orang tua boleh je. Belakang imam je kamu tak boleh. Dulu pakcik belajar kat luar Negara, mana ada saf kanak – kanak. Kanak – kanak kerja dia masuk celah – celah orang tua yang renggang saf.”
Saya sebenarnya memang cukup pening kepala dengan adat meletakkan kanak – kanak dalam saf khas. Tambahan pula, saya cukup sakit hati, marah tak terkata apabila di masjid kariah saya di Kuala Lumpur ada “Saf OKU.” Cukup menghinakan! Alasan yang diberikan oleh orang tua dalam masjid itu dia membatalkan saf. Batal saf apa lagi? Kalau nak pakai pendapat keras, saf Jemaah dah batal sejak hari masjid dibuka. Sebab tak bersentuh bahu, kaki. Boleh main konta konti kat celah – celah tu.
Alasan biasa untuk mewujudkan saf kanak – kanak,
1. Belum sunat. Takut menitik air kencing batal wudhu’ terus batal solat. Rosak saf. (Tak usah mengada – ngada. Soal batal atau tidak bukan menjadi persoalan sehingga zahir tanda – tandanya. Orang tua pun ada je yang terkincit dalam diam lepas tu buat muka comel. Ada atau tak ada kanak – kanak saf memang dah rosak. Geli sangat nak bersentuh bahu, takut orang kampong kata kedi (gay). Kalau dah rosak saf, baiki lah saf tu.)
2. Kanak – kanak buat bising. (Memang lah. Dah kamu gatal sangat kumpulkan mereka sekali. Dah nama kanak – kanak itulah fitrahnya. Penjajah pakai sistem pecah dan perintah. Gunalah dalam masjid. Letakkan sebelah ayah, penjaga atau sesiapa sahaja, dia akan diam dan ikut solat. Saya tahu; saya dah perhatikan fenomena ini selama saya bawa kanak – kanak ke saf depan. Dia akan wirid dan berdoa sekali sebelum mencari rakan seperjuangannya.)
3. Kanak – kanak busuk. (Kamu pun busuk jugak. Hisap Gudang Garam di luar masjid.).
Sabda Rasulullah,
“Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bangar seperti pasar”.
[HR: At-Tirmizi].
Ulama’ mazhab Shafie pula berpandangan,
“Sunat meletakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar melakukan solat”.
Imam al-Khatib al-Syarbini pula menjelaskan,
“Perbincangan tentang susunan saf itu adalah apabila jemaah datang serentak, tetapi sekiranya kanak-kanak datang awal, maka jangan diundurkan mereka untuk memberi tempat kepada orang dewasa yang baru datang, seperti itu juga kalau mereka lebih awal berada di saf awal, maka mereka lebih berhak menduduki tempat tersebut, menurut pendapat yang sahih….
Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.”
[Mughni al-Muntaj]
Jelas daripada apa yang dikatakan; jika kanak – kanak yang sampai masjid dulu, maka menjadi hak mereka mana – mana saf yang kosong, demikian juga jika saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikhususkan kepada kanak-kanak.
Lain pula halnya di belakang imam; mestilah orang yang berilmu yang boleh menegur imam kalau tersilap atau ganti imam kalau imam ‘buat muka comel’. Kanak – kanak dan orang tua tidak berilmu tidak boleh berdiri di belakang imam. Kalau tak semua pakat buat muka comel.
Persoalan sebenarnya yang timbul di sini bukan pada hal “Bolehkah kanak – kanak pergi ke saf depan?” tetapi pada hal “Mengapa kanak – kanak perlu ke depan?” Pada hari ini sudah jelas sangat orang – orang Islam sudah hidup dalam kejahilan, dalam kemaksiatan yang pekat. Sedikit demi sedikit mereka menjauhkan diri dari Islam, menjauhkan diri dari majlis ilmu, dan menjauhkan diri dari masjid.
Antara sebab jauhnya sesorang itu dari masjid ialah kerana layanan dalam masjid. Sewaktu saya kecil, saya antara yang sering ditolak ke saf belakang walaupun saya dah khatan sebelum saya masuk tadika dan sudah bersekolah. Geng – geng masjid saya waktu itu ada yang menjauhkan diri dari masjid kerana “benci betul kat orang tua tu; orang datang sembahyang dia halau pergi belakang.”
Dua tahun saya membesar di England, dua tahun menjadi mahasiswa di Australia, masjid di Turki, Arab Saudi, Mesir, Korea dan negara – Negara Eropah saya pernah solat, tidak pernah saya jumpa saf kanak – kanak. Bahkan kanak – kanak ditolak sedepan yang boleh bagi meraikan kehadiran mereka ke masjid. Di negara ini rata – ratanya ada masalah menyusun priority terhadap masalah – masalah semasa.
Umat Islam leka dalam bersolat kita sibuk bahas bolehkah berdoa ramai – ramai, ramai orang kesukaran untuk mendirikan rumahtangga kita gatal letak ‘flow-chart’ prosedur memohon kebenaran berkahwin dan denda RM1000 atau penjara 6 bulan kalau tak daftar betul – betul, ramai umat Islam makin tak reti ugama sendiri, kita sibuk dengan meng-khawarijkan ulama’, kanak – kanak renggang dengan masjid, kita sibuk mewarisi adat pepatih yang entah bila mulanya dan sebab apa.
Janganlah dijauhkan kanak – kanak daripada orang tua dalam solat. Ajaklah mereka untuk solat di sebelah kita. Ia memberi peluang untuk mereka memperbaiki solat, dan merapatkan mereka dengan orang tua, dan mudah – mudahan di dalam jangka masa panjang menjadikan mereka mesra masjid.
Dan jangalah sibuk sangat pasal kanak – kanak berlari – lari. Itu fitrah mereka sebagai golongan yang belum akil baligh. Letak mereka di sebelah kita, dan mereka diam dan turut bersolat.
No comments:
Post a Comment