Jumaat malam, 18 September, aku bertolak dari stesen keretapi Westona menuju ke Pusat Bandaraya Melbourne. Dalam perjalanan, keretapi melewati loji penyulingan petroleum yang terletak di antara stesen Seaholme dan Newport. Di kala malam gelap, api yang marak menyala di salah satu menaranya menerangkan kawasan persekitaran.
Aku dah biasa dengan pemandangan ini memandangkan aku selalu menggunakan perkhidmatan keretapi ini untuk ke Universiti, dan juga ke masjid di Newport. Namun, pada malam ini, melihatkannya, aku teringat pula pada kilang simen di Bukit Berapit, yang terletak di tepi lebuhraya antara Changkat Jering dan Kuala Kangsar.
Maka teringat pula nostalgia Aidilfitri yang lalu. Tamat sahaja kuliah yang terakhir, malam itu juga terus bertolak dari Permatang Pauh balik ke rumah opah di Kuala, walaupun raya lagi 5 hari, dan tak ada isu kesesakan jalanraya bagi perjalanan menghala ke Kuala Lumpur. Salah satu sebabnya, dok kat Kuala Kangsar ini ada rasa ketenangan. Mungkin kekerapan balik kampung sejak kecil yang menyebatikan aku dengan bandar diraja ini. Sebab tambahan...saja cari alasan memandu di waktu malam. Memandu di waktu malam ini ada 'feeling' sikit. Sebab tu kebanyakan perjalanan jauh aku dilakukan pada waktu senja dan ke atas...walaupun mak abah tak berapa perkenan.
Balik kepada kisah asal...aku 'berkampung' di rumah sahabat di Drummond Street, berhampiran Melbourne Museum sempena raya. Sahabat - sahabat aku yang lain akan bercuti selama 2 minggu bermula 1 Syawal. Manakala aku yang menuntut di Victoria University, cutiku hanya akan bermula seminggu selepas raya.
Kalau ikut tradisinya, aku akan turun di stesen Melbourne Central, dan terus berjalan ke Drummond Street, atau naik tram kalau tak ada mood nak jalan. Namun kali ini, aku turun di Southern Cross terlebih dahulu, oleh kerana Zaim dan Syed Marwan berada di Islamic Centre Victoria untuk mengerjakan tarawih dan seterusnya berkampung di situ untuk berqiam, dan aku perlu mengambil kunci rumah dari Zaim.
Sesampai di rumah Zaim, aku menyiapkan kerja - kerja programming aku, qiam dan terus masuk tidur.
Tengahari esok, aku dan Zaim ke Glenroy (utara Melbourne) untuk membantu Ustaz Nushi menyediakan hidangan untuk esoknya. Ustaz Nushi kena sediakan juadah untuk 800 orang.
Sekitar pukul 4.30, datang pula Ustaz Hasnizul membawa kami ke Malaysia Hall di High Street untuk majlis berbuka dan takbir beramai - ramai.
Tepat jam 6.16, masuklah waktu Maghrib, dan berakhirlah Ramadhan bagi 1430 Hijriyyah.
Sedang bertakbir, tiba - tiba berlaku flashback. Depan aku muncul muka mak abah, muka arwah atok, Masjid Jamek Kampar yang diisi jemaah bertakbir. Entah kenapa. Mungkin Masjid Jamek tu yang menjadi tempat aku mengenali takbir raya. Pendek kata, tahun 1995 merupakan tahun pertama aku bertakbir. Adapun Aidilfitri di England pada tahun 1993, dan 1994, aku pun tak tahu wujudnya takbir, solat raya.
Biasanya kalau bertakbir, seolah - olah ada aura yang dilepaskan. Tapi entah kenapa, malam tu 'aura' tersebut seolah - olah tersekat, tak boleh nak dikeluarkan. Mungkin kerana aku berdepan dengan suasana yang lain daripada yang aku alami seumur hidupku.
Entahlah... (to be continued)
No comments:
Post a Comment