Dua hari yang lalu, sedang aku membaca status Facebook orang, aku terpaku pada satu status. Status itu menyatakan bahawa seorang sahabat aku yang aku kenal sewaktu belajar di Permatang Pauh berada di hospital di dalam keadaan kritikal, yang mana beliau hanya mempunyai 30% peluang untuk selamat. Beliau mengidap denggi berdarah.
Mula - mula ingatkan lain orang. Tapi bila terfikir balik, berapa banyak sangat orang dengan nama itu. Maka, aku bertanyakan sahabat - sahabat di Malaysia mengenai hal ini. Sah orangnya.
Hari ini, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir dan pergi menghadap Penciptanya. Aku hanya mampu duduk terdiam. Nak pergi ziarah, aku beribu batu jauhnya berjuang di negara orang. Beberapa jam selepas berita kematiannya, datang pula lagi satu berita mengatakan bahawa opah saudara aku juga telah kembali ke rahmatullah.
Hari ini, aku berada di dalam keadaan cukup tak tenang, resah.
Sahabat aku itu bernama Anis Amirah Ahmad Lutfi. Aku mengenalinya sewaktu tahun terakhir pengajian di Permatang Pauh. Secara umumnya, kami mengenali beliau sebagai seorang yang kecoh - kecoh.
Aku juga mengenali beliau sebagai seorang pencinta sastera. Tak kurang juga penulisannya yang aku biasa baca.
Kali terakhir aku jumpa beliau, sewaktu kenduri kecil - kecilan di rumah seorang sahabat berhampiran dengan kampus. Sewaktu itu, aku kembali ke Permatang Pauh untuk berjumpa dengan sahabat - sahabat aku buat kali terakhir, sebelum aku berangkat ke Melbourne untuk melanjutkn pengajian.
Siapa sangka, dalam aku kembali untuk berjumpa mereka, salah seorang daripada mereka aku takkan jumpa lagi buat selama - lamanya. Almarhumah berusia 22 tahun pada tahun ini. Melihatkan usianya sahaja boleh tahu dia peringkat adik. Selama ini aku sangka, adik - adik aku yang akan melihat aku pergi dulu.
Tapi Allah lebih mengetahui.
Selalu aku sebut, kehidupan mahasiswa di Pulau Pinang merupakan kenangan yang paling manis, yang takkan dapat dilupakan, baik alamiyyah mahupun ukhuwwah. Malam aku meninggalkan Pulau Pinang selepas tamat peperiksaan akhir merupakan malam yang sedih buat aku. Sepanjang pemanduan menghala ke selatan, aku mengenangkan kembali peristiwa - peristiwa yang berlaku sepanjang tahun.
Aku meninggalkan kampus Shah Alam tanpa sebarang kenangan manis. Kini di Melbourne, secara logiknya kehidupan di negara orang lebih manis kenangannya. Hakikatnya, aku masih tak lekang daripada mengingati Pulau Pinang serta sahabat - sahabat di sana. Melbourne masih tidak ada kenangan yang setanding, melainkan hanya kenangan alamiyyah.
Bila mereka dalam gembira, aku tumpang gembira. Bila mereka dalam duka, aku turut merasainya. Dan peristiwa kematian ini sememangnya menguji ketabahan diri. Sebak rasa bila mengetahui sahabat - sahabat lain menanti di luar wad hingga ke subuh.
Bahkan, di kalangan mereka juga menempuh perjalanan merentas negara di kala malam untuk berada bersama - sama dengan sahabat mereka yang sedang tenat.
Kami yang berada di luar negara hanya mampu menanti berita perkembangan melalui e-mel dan sms. Sepanjang penantian berita, ada yang berdiri tak tenang duduk tak puas, badan terketar - ketar, makan tak lalu, masak tak terdaya, merisaukan sahabat yang akhirnya telah pergi. Hanya doa dan kata - kata semangat yang mampu kami lakukan.
Semoga pemergian almarhumah pemergian husnul-khatimah, semoga ditempatkan di kalangan orang - orang beriman.
Selamat tinggal adik dan sahabatku, buat selama - lamanya.
Al-Fatihah.
2 comments:
bersama anis hampir kesekian harinya.bertolak dari sri iskandar ke hospital sg.buloh dengan hati dan fikiran yang sangat2 runsing.bertemu dengan anis di wad icu tengahari sabtu dalam keadaan di keremuni oleh doctor.Terpaku melihat anis dalam keadaan berbelit wayar di celah mulut,hidung,tangan dan dada.Menitis air mata bercucuran.Menunggu anis dari pagi hingga lewat malam.Tidor tak lena.Esoknya,pagi ahad,bergegas ke hospital dari padang jawa untuk melihat anis tercinta.Jam menunjukkan 10.42pagi,Anis pergi.............menunggu anis di bilik mandi mayat.kurang jam 2 petang,bersama anis di dalam van mayat dengan adik lelakinya(amirul hakim).Menuju dari sg.buloh ke rumah anis di sg.besar,sabak bernam yang memakan masa hampir 2jam.tidak putus2 membaca al-quran dan sempat berbual panjang dengan adiknya tentang anis.Sesudah sembahyang asar,hampir lebih dari 500 orang mensolatkan anis.Terus membawa anis ke tanah perkuburan berhampiran dengan masjid."sangat2 tersentuh ketika diri ini sendiri yang meletakkan kepala anis kedalam keranda mayat di dalam kuburnya.Melihat wajah anis untuk kali terakhir".Suasana mendung diiringi hujan renyai dan kicauan burung2 berterbangan di udara tiba2 menyelubungi kawasan tanah perkuburan.Moga anis bersama golongan para anbiya',solehin.ameen..
Innalillah wa-inna ilaihi raji’un – Truly to Allah we belong, and truly to Him shall we return”.. alfatiha
Post a Comment