Setelah hampir setahun mental seolah - olah tersumbat, kini ianya bebas untuk merenung hakikat alamiyah...
Ukhuwwah; satu perkataan yang tak terasing dari kamus kehidupan kita. Sebut sahaja ukhuwwah, kita tahu ianya ada kena mengena dengan ikatan silaturahim sesama manusia.
Tahun 2005 - 2006 seingat saya dahulu merupakan tahun yang pekatnya dengan artikel - artikel dan ungkapan - ungkapan mengenai ukhuwwah. Siapa tak lupa pada ungkapan Ukhuwwah fillah abadan abada, ukhuwwah fillah membawa ke jannah. Siapa juga tak lupa pada artikel Cinta Anta Anti karangan Maszlee Malik.
Tahun 2005 - 2006, saya masih seorang mahasiswa di UiTM ketika itu. Dan pada usia muda ketika itu serta serba jahil dalam bab - bab ini, saya tak nafikan saya antara yang menyahut seruan - seruan ini dalam keadaan tak tahu ke mana halanya.
Saya tak mahu fokus pada definisi ukhuwwah, kerana semua sedia maklum akannya. Tapi, saya mahu fokus pada mentaliti terhadap hakikat ukhuwwah itu. Seringkali kita diingatkan oleh rakan - rakan, sahabat - sahabat kita untuk menguatkan, melahirkan, mengeratkan ukhuwwah sesama kita.
Hakikatnya benda itu tak menjadi pada ramai orang. Mengapa?
Antara sebabnya, ukhuwwah itu dijadikan satu bentuk material; satu kewajipan yang tercetak di atas rang undang - undang, perlembagaan. Ukhuwwah itu menjadi objektif utama wujudnya sesebuah aktiviti/program, sedangkan ukhuwwah itu letaknya di kalangan objektif sampingan.
Ukhuwwah itu satu bentuk fitrah yang wujud dalam diri setiap orang. Dan untuk menghasilkan ukhuwwah yang sebenar - benar ukhuwwah mestilah dengan kehendak diri, bukannya secara paksa rela atau birokrasi. Ukhuwwah yang lahir secara paksa rela ibarat enjin sejuk yang dibawa merentas lebuhraya; ketat dan tesengguk - sengguk.
Antara sebab lain ialah faktor kasta. Kerana perbezaan sejarah, latarbelakang, 'maqam', maka kita menjauhkan diri kita dari orang lain, dan hanya bergaul dengan mereka yang 'setaraf' dengan kita.
Apa yang istimewa sangat pasal diri kita hatta kita menyisihkan diri dari orang lain? Tidakkah manusia itu semuanya sama di hadapan Allah?
Ukhuwwah itu benda semulajadi, dan hanya boleh dijana secara semulajadi. Ukhuwwah yang wujud dalam diri kita, hanya kita sahaja yang boleh jana menjadi setulen - tulen ukhuwwah, bukannya melalui kertas kerja, bukannya melalui arahan berwajib, bukannya program - program mahabbah, perpaduan, ikatan kasih dsb.. Sepatutnya program - program seperti itu tempat kita membawa produk ukhuwwah yang dijana, bukannya tempat baru nak jana ukhuwwah.
No comments:
Post a Comment