“Buat apa enta pergi sana? Bukannya ada apa – apa pun. Boring tempat tu…”
Kedua – dua ayat di atas merupakan potongan daripada perbualan – perbualan saya dalam tempoh sebulan dua yang lalu.
Ayat yang pertama merupakan perbincangan saya dengan seorang rakan sekursus universiti. Kami sedang berbincang mengenai subjek Professional Practice 4A yang diwajibkan untuk pelajar tahun akhir kursus Kejuruteraan Elektrik. Subjek ini tidak fokus kepada ilmu – ilmu teknikal kejuruteraan, malah lebih kepada case study dunia kejuruteraan; politik kejuruteraan, etika kejuruteraan dsb.
Ayat kedua merupakan perbualan saya dengan seorang sahabat sewaktu itu saya pergi berjaulah ke Echuca; sebuah perbandaran yang terletak di sempadan utara negeri Victoria, 3 jam perjalanan dari Melbourne. Echuca terkenal dengan sejarah penambang kapal kargo stim (Port of Echuca).
Terus terang saya cakap, saya tak bersetuju sedikitpun dengan kedua – dua ayat di atas.
Merujuk kepada ayat pertama; walaupun latar belakang disiplin saya adalah kejuruteraan, namun hakikatnya jurutera berurusan dengan orang – orang yang tidak ada latar belakang kejuruteraan. Maka, perlulah bagi jurutera untuk mewujudkan satu platform bagi berunding dengan pihak ini, dan perundingan perlunya kepada ilmu.
Mahir di dalam Newton-Raphson Law sekalipun, pakar dalam co-generation, tri-generation, Control Theory, Engineering Protocols, tapi kalau tak reti nak berkomunikasi dengan orang bidang lain, parah jugak.
Sewaktu saya berpraktikal di Ipoh awal tahun ini, saya dapati bahawa yang benar – benar diperlukan di dalam kerja seharian adalah kemahiran berkomunikasi, kerjasama, dan kepimpinan. Ilmu kejuruteraan sahaja tidak cukup untuk untuk memenuhi kriteria ini. Pengalaman luar diperlukan.
Sepuluh tahun saya menjadi pemimpin di dalam pelbagai pertubuhan yang berbeza latar belakang, memimpin pada marhalah – marhalah yang berbeza. Setiap pertubuhan mempunyai jenis – jenis ahli yang berbeza. Memimpin setiap pertubuhan memerlukan ilmu yang lebih kurang sama, tetapi teknik dan pendekatan yang berbeza. Memimpin Lembaga Pustakawan dan Sekretariat Persatuan Mahasiswa Hadhari merupakan dua pengalaman yang berbeza.
Kalau dua pertubuhan pelajar sahaja sudah berbeza ilmu kepimpinannya, apatah lagi apabila berada di dalam alam industri kelak. Sebab itu saya merasa perlunya pelajar Kejuruteraan untuk mengetahui dan memahami kerenah dunia. Perlu kepada pemahaman sosiologi. Kalau seorang jurutera membuat kereta, maka kereta itu bukannya untuk kegunaan jurutera sahaja. Orang politik, cikgu, usahawan, beliawan, tok wan semuanya pakai kereta.
Merujuk kepada ayat kedua; Port of Echuca sepertimana yang saya jelaskan tadi terkenal dengan kapal stim. Di mana ada kapal stim, di situ ada machineries. Dan selaku seorang pelajar kejuruteraan, sememangnya benda – benda itu menjadi obsession saya.
Ramai yang mengenali saya sedia maklum yang saya ini memang ‘kaki rewang’. Asal ada masa terluang, asal ada wang, saya akan menghilangkan diri. Etimologi ‘merewang’ saya bermakna pergi melihat ciptaan Allah dan peradaban manusia. Etimologi ini boleh diguna pakai di mana – mana sahaja; di bandaraya, di perkampungan, di perhutanan, di mana sahaja ada sejarah peradaban manusia. Andai kata membeli – belah menjadi etimologi ‘merewang’, maka hanya terhad kepada bandaraya – bandaraya dan kawasan – kawasan uptown.
Andai etimologi saya dan etimologi orang lain tak sama, maka tak mungkin mereka memahami objektif saya. Mereka akan kata saya gila, namun saya takkan mengatakan mereka gila, kerana skop etimologi saya merangkumi skop mereka, sedang skop mereka tidak merangkumi skop saya (faham ke tak ni?).
Kalau nak cari ikan, cari di sungai atau laut, bukan di dalam reban ayam. Kalau mencari sesuatu, biar kena sumbernya, biar ada matlamat, dan fahamilah skop ilmu yang diperlukan. Setiap perkara wujud dengan objektifnya yang tersendiri. Kalau selamanya kita menafikan kewujudannya, sampai bila – bila kita tidak akan memahami apa – apa.
Kebanyakan dari kita mempunyai matlamat yang sama, tetapi kepakaran yang berbeza. Sepertimana lebuhraya dan landasan keretapi; sama destinasi. Ada masanya mereka berada sebelah – menyebelah, dan ada masanya mereka perlu mengharungi laluan masing – masing.
“Maka barangsiapa yang berhijrah kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya itu adalah kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang ingin ia memperolehinya atau kerana seorang perempuan yang ingin ia menikahinya, maka hijrahnya itu adalah atas apa yang ia berhijrah kerananya.”
[Hadith 40]
1 comment:
terbaiklah...=D Teruskan Karim..Biar ape orang kate..selagi mana bernafas luas lg Bumi Allah nie utk d terokai...Moga Allah sntiasa merahmati n melindungi kamu...
Post a Comment