Showing posts with label melayu moden. Show all posts
Showing posts with label melayu moden. Show all posts

Thursday, 3 January 2013

Kanak – Kanak, Masjid, & Saf

Satu Maghrib beberapa minggu yang lalu saya pergi menunaikan solat di salah sebuah masjid di Kuala Kangsar. Biasanya saya akan terus bergegas ke saf paling depan, tetapi kali ini saya ambil keputusan untuk berlegar – legar di bahagian belakang dewan solat sehingga semua orang sudah berada dalam saf. 

Mengapa?

Adakah saya hanya mahukan pahala kambing?

Tidak. Saya sebenarnya mahu memerhatikan Pemegang Mohor Saf Kanak – Kanak menghimpunkan semua kanak – kanak ke dalam satu saf khas di belakang. Setelah tuan Pemegang Mohor masuk saf saya terus bergegas ke saf kanak – kanak tersebut dan menarik seberapa banyak yang boleh untuk ikut saya ke saf depan, termasuk seorang budak yang nampak gaya macam ketua hulubalang kanak – kanak.

Setelah solat, saya bersembang dengan ‘ketua’ tersebut, 

Saya: “Berapa umur kamu ni, yob? Dah sunat?” 

 Dia: “11. Dah.” 

Saya: “Dahtu, apa koje kamu sembahyang kat belakang pulak?”

Dia: “Pakcik tu tak bagi.” 

Saya: “Lantak je dia tu. Lain kali kamu tunggu dia dah angkat takbir, lepas tu lari ke depan. Budak – budak nak sembahyang dengan orang tua boleh je. Belakang imam je kamu tak boleh. Dulu pakcik belajar kat luar Negara, mana ada saf kanak – kanak. Kanak – kanak kerja dia masuk celah – celah orang tua yang renggang saf.” 

 Saya sebenarnya memang cukup pening kepala dengan adat meletakkan kanak – kanak dalam saf khas. Tambahan pula, saya cukup sakit hati, marah tak terkata apabila di masjid kariah saya di Kuala Lumpur ada “Saf OKU.” Cukup menghinakan! Alasan yang diberikan oleh orang tua dalam masjid itu dia membatalkan saf. Batal saf apa lagi? Kalau nak pakai pendapat keras, saf Jemaah dah batal sejak hari masjid dibuka. Sebab tak bersentuh bahu, kaki. Boleh main konta konti kat celah – celah tu.

Alasan biasa untuk mewujudkan saf kanak – kanak,

1. Belum sunat. Takut menitik air kencing batal wudhu’ terus batal solat. Rosak saf. (Tak usah mengada – ngada. Soal batal atau tidak bukan menjadi persoalan sehingga zahir tanda – tandanya. Orang tua pun ada je yang terkincit dalam diam lepas tu buat muka comel. Ada atau tak ada kanak – kanak saf memang dah rosak. Geli sangat nak bersentuh bahu, takut orang kampong kata kedi (gay). Kalau dah rosak saf, baiki lah saf tu.)

2. Kanak – kanak buat bising. (Memang lah. Dah kamu gatal sangat kumpulkan mereka sekali. Dah nama kanak – kanak itulah fitrahnya. Penjajah pakai sistem pecah dan perintah. Gunalah dalam masjid. Letakkan sebelah ayah, penjaga atau sesiapa sahaja, dia akan diam dan ikut solat. Saya tahu; saya dah perhatikan fenomena ini selama saya bawa kanak – kanak ke saf depan. Dia akan wirid dan berdoa sekali sebelum mencari rakan seperjuangannya.)

3. Kanak – kanak busuk. (Kamu pun busuk jugak. Hisap Gudang Garam di luar masjid.).

Sabda Rasulullah,

“Hendaklah berdiri mengiringi di belakang aku orang yang sudah baligh dan berakal, kemudian mereka yang berikutnya, mereka yang berikutnya. Jaga-jagalah kamu dari hingar-bangar seperti pasar”. 
 [HR: At-Tirmizi].  

Ulama’ mazhab Shafie pula berpandangan,

“Sunat meletakkan kanak-kanak (yang sudah suci) itu diselang-seli dengan orang dewasa bagi mereka belajar melakukan solat”. 

 Imam al-Khatib al-Syarbini pula menjelaskan,

“Perbincangan tentang susunan saf itu adalah apabila jemaah datang serentak, tetapi sekiranya kanak-kanak datang awal, maka jangan diundurkan mereka untuk memberi tempat kepada orang dewasa yang baru datang, seperti itu juga kalau mereka lebih awal berada di saf awal, maka mereka lebih berhak menduduki tempat tersebut, menurut pendapat yang sahih…. Adapun dibelakangkan kanak-kanak daripada orang dewasa seperti yang diperkatakan oleh al-Azraie apabila saf orang dewasa telah penuh, tetapi sekiranya terdapat kekosongan pada saf orang dewasa maka ianya diisi dengan kanak-kanak.” 
[Mughni al-Muntaj]

Jelas daripada apa yang dikatakan; jika kanak – kanak yang sampai masjid dulu, maka menjadi hak mereka mana – mana saf yang kosong, demikian juga jika saf orang dewasa terdapat kekosongan maka saf tersebut perlu diisi dengan kanak-kanak. Tidak terdapat di sana saf yang dikhususkan kepada kanak-kanak.

Lain pula halnya di belakang imam; mestilah orang yang berilmu yang boleh menegur imam kalau tersilap atau ganti imam kalau imam ‘buat muka comel’. Kanak – kanak dan orang tua tidak berilmu tidak boleh berdiri di belakang imam. Kalau tak semua pakat buat muka comel.

Persoalan sebenarnya yang timbul di sini bukan pada hal “Bolehkah kanak – kanak pergi ke saf depan?” tetapi pada hal “Mengapa kanak – kanak perlu ke depan?” Pada hari ini sudah jelas sangat orang – orang Islam sudah hidup dalam kejahilan, dalam kemaksiatan yang pekat. Sedikit demi sedikit mereka menjauhkan diri dari Islam, menjauhkan diri dari majlis ilmu, dan menjauhkan diri dari masjid.

Antara sebab jauhnya sesorang itu dari masjid ialah kerana layanan dalam masjid. Sewaktu saya kecil, saya antara yang sering ditolak ke saf belakang walaupun saya dah khatan sebelum saya masuk tadika dan sudah bersekolah. Geng – geng masjid saya waktu itu ada yang menjauhkan diri dari masjid kerana “benci betul kat orang tua tu; orang datang sembahyang dia halau pergi belakang.”

Dua tahun saya membesar di England, dua tahun menjadi mahasiswa di Australia, masjid di Turki, Arab Saudi, Mesir, Korea dan negara – Negara Eropah saya pernah solat, tidak pernah saya jumpa saf kanak – kanak. Bahkan kanak – kanak ditolak sedepan yang boleh bagi meraikan kehadiran mereka ke masjid. Di negara ini rata – ratanya ada masalah menyusun priority terhadap masalah – masalah semasa.

Umat Islam leka dalam bersolat kita sibuk bahas bolehkah berdoa ramai – ramai, ramai orang kesukaran untuk mendirikan rumahtangga kita gatal letak ‘flow-chart’ prosedur memohon kebenaran berkahwin dan denda RM1000 atau penjara 6 bulan kalau tak daftar betul – betul, ramai umat Islam makin tak reti ugama sendiri, kita sibuk dengan meng-khawarijkan ulama’, kanak – kanak renggang dengan masjid, kita sibuk mewarisi adat pepatih yang entah bila mulanya dan sebab apa.

Janganlah dijauhkan kanak – kanak daripada orang tua dalam solat. Ajaklah mereka untuk solat di sebelah kita. Ia memberi peluang untuk mereka memperbaiki solat, dan merapatkan mereka dengan orang tua, dan mudah – mudahan di dalam jangka masa panjang menjadikan mereka mesra masjid.

 Dan jangalah sibuk sangat pasal kanak – kanak berlari – lari. Itu fitrah mereka sebagai golongan yang belum akil baligh. Letak mereka di sebelah kita, dan mereka diam dan turut bersolat.

Monday, 25 May 2009

Generasi Tanpa Tenaga

Sejak beberapa tahun yang lepas, terdapat banyak produk makanan/minuman yang berasaskan/bercampurkan tongkat ali, kacip fatimah, manjakani, ginseng, serta macam - macam lagi. Kemudian, disusuli pula dengan terserlahnya produk - produk penguat tenaga zahir dan batin.

Sewaktu menuntut di Pulau Pinang, saya selalu makan malam di simpang Kubang Semang. Kaunter bayarannya dimonopoli oleh ubat - ubat penguat tenaga. Bahkan ubat ma'ajun, jika dilihat dari jauh, rupanya mirip model mini peledak kapal selam.

Kalau pergi ke Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, tak kurang hebatnya. Macam - macam jenama ada,
  • Cap Superman
  • Tupai Jantan
  • Tarzan Mengaum
  • Turbo
  • Sure-up
  • Awang Perkasa
  • Badang Mengamuk
  • Tok Su Gagah

Hal ini membawa kepada satu persoalan; mengapakah kebanyakan generasi hari ini menyeru kepada ubat - ubatan ini?

Apakah yang menyebabkan mereka senantiasa kekurangan tenaga? Kalau ikut cerita - cerita orang tua, generasi terdahulu tak pernah menghadapi situasi sebegini. Mereka dahulu sihat - sihat belaka. Bahkan, mereka meninggal dunia kerana sakit tua, dan bukannya disebabkan apa - apa penyakit kronik.

Datuk M. Nor Khalid (Lat) di dalam salah satu karya beliau menghuraikan ciri - ciri orang terdahulu (Living to be 100); bahawa mereka akan bangun pada awal pagi, mengerjakan tanah/sawah/ladang, minum kopi O tanpa sebarang ubat - ubatan, hanya herba, dan akhirnya masuk tidur awal.

Generasi hari ini telah menyimpang jauh daripada disiplin jadual kehidupan seharian yang diamalkan oleh golongan sebelum daripada mereka. Mana tidak, dunia sudah berubah, maka corak kehidupan turut berubah.

Corak kehidupan yang ketara dilihat di bumi Malaya ini, khususnya di kalangan golongan muda, mereka akan keluar beramai - ramai di kala malam, dan bergebang di tepi longkang sambil memetik gitar memainkan lagu Duhai Bangsaku.

Adapun golongan muda di kota, mereka akan bergebang di kedai - kedai mamak 24 jam, hisap rokok sekotak dua sambil menceritakan keanggunan markha masing - masing.

Bak kata Dato' Ismail Kamus,

"Kalau masuk waktu Maghrib, kambing pulang ke kandang. Kita pulak, keluar pergi pasar malam. Kambing pulak yang reti balik kandang. Manusia? Kalau nampak kat kambing, tak ke malu kita?"

Kemudian mereka akan pulang ke rumah apabila ayam sedang bersiap sedia untuk berkokok, lalu terbongkang di atas katil hatta matahari meninggi...silap hari hatta matahari tergelincir.

Maka, dengan corak tidur yang sebegini, yang sudah tentunya melawan hukum alam, tidak hairanlah mereka sering berasa kekurangan tenaga, kelesuan, rasa tak best.

Sewaktu menjadi mahasiswa di UiTM dahulu, saya sering memerhatikan ragam pelajar di waktu malam. Mereka suka tidur dengan lampu terbuka...bukan lampu meja atau lampu malam, tetapi lampu kalimantang. Tiba pagi, dalam pukul 8 - 9 pagi, mereka akan bangun, hisap rokok sebatang dua, kemudian basuh muka, tukar pakaian, dan terus pergi kuliah.

Tidur dengan lampu terbuka, sudah tentu tidur tak lena. Dan apabila bangun di waktu pagi, badan akan rasa lesu, kepala rasa berat. Tambahan pula, tidur dengan lampu terbuka sudah semestinya membantutkan penumbuhan sel - sel baru di dalam badan, serta menambah risiko kanser kulit. Mana tidaknya, sepanjang masa kulit terdedah kepada sumber cahaya, baik as-syams di langit, ataupun 'as-syams' yang tergantug di sana sini.

Dengan corak - corak kehidupan sebegini, maka tidak hairanlah generasi hari ini kurang stamina, tak lekang daripada pelbagai penyakit, dan terpaksa mencari sumber - sumber lain untuk meningkatkan stamina serta tenaga mereka.

Oleh itu rakan - rakan sekalian, jagalah kesihatan diri. Amalkanlah kehidupan yang sihat. Setiap diri kita ada peranan di atas muka bumi ini. Sayanglah jika kita terbantut sebelum sempat kita menabur bakti.

Tuesday, 16 September 2008

Ramadhan Karim al-Mubarak atau Ramadhan KARI wal-MURTABAK???

Hari ini sewaktu iftar bersama - sama sepupu sekeluarga, aku tak selera makan. Mungkin kerana lauk. Bukan aku berkira, tetapi ada jenis - jenis lauk ala-Pulau Pinang yang perut aku tak boleh terima sebab tajam sangat, apatah lagi di Ramadhan. Maka, selepas menunaikan solat Maghrib, aku makan nasi sejemput, pakai jubah, terus menghala ke Masjid Batu.

Adapun surau di belakang rumah sepupu yang mana aku menjadi jawatankuasa di dalamnya, serta imam/muazzin on-call, tiada ku perkenan bersolat di sana kerana rinduku pada pengisian yang 'kow' oleh penyampai yang 'kow', dengan harapan aku dapat belajar menjadi 'kow'.

Penyampai tazkirah hari ini ialah ustaz Halim Nasir al-hafiz. Pengisian beliau membawa sehingga ke jam 10.15 malam, itupun solat tarawikh baru selesai empat rakaat, ada lagi empat. Sedang aku solat witir, perutku berkeroncong. Menghampiri jam 11 malam, dalam perjalanan pulang, aku singgah di kawasan kedai Bandar Perda hendak membungkus lauk buat alas perut.

Tibaku di simpang berhadapan dengan stesen minyak Petronas, aku lihat kenderaan diletakkan berderet di bahu jalan utama. Aku kehairanan. Sedang ku lewati deretan kedai...NA'UZUBILLAH!!!

Di hadapan Restoran Nasmir biasanya ada dua tiga gerai menjual barangan bundle pada waktu malam. Namun, tiba Ramadhan, bukannya dua atau tiga, tetapi sederet, dua lapis!!! Habis tempat letak kereta dapat kat dia.

Siapa lagi yang memenuhi kawasan tersebut kalau bukan anak muda, remaja, mahasiswa/i. Takkan Haji Tua Kerepot yang nak pergi usha tali pinggang kepala kerbau, atau baju tengkorak, atau seluar pengemis (baca: jeans koyak/lusuh).

Sedang aku berjalan di kaki lima nak balik ke kereta, maka terlintas aku di sebuah warong di kaki lima tersebut, terlihat aku akan sepasang kekasih yang paling bahagia di atas muka bumi ini. Pakaian si 'aling' dan si 'ayang' cukup buat aku naik syeikh. Kalau aku pakai serban aku waktu itu, sumpah gugur kain serban aku. Ikutkan hati, mahu saja aku humban kolah air panas di kaunter minuman itu ke atas kedua - dua pasangan itu (dalam istilah silat, dipanggil mandi limau, cuma airnya tadah kat pili, limau beli kat kedai Ah Hong).

Terkadang aku rasa geram, bercampur sedih, marah melihatkan warga Melayu yang diwar - warkan sebagai penyelamat bangsa generasi masa hadapan. Apakah mereka lupa mereka itu beragama Islam? Bukannya orang lain, bangsa aku juga (walaupun aku ada campuran Mendailing, Minangkabau, dan Banjar).

Apakah bagi mereka, Ramadhan sama seperti bulan - bulan lain; eat, drink and be merry??? Kalau begini rupanya, tak terbayang daku bagaimana rupanya generasi masa hadapan.

Mudah - mudahan Allah mempermudahkan bagiku di dalam bulan Ramadhan ini.