Thursday, 11 September 2008

Kerana Kalut Sangat Hendak Berbuka...

Di luar bulan Ramadhan, kalau masuk waktu Maghrib, kita berlengah - lengah nak pergi berwudhu', dan menunaikan solat. Tetapi, sewaktu bulan Ramadhan, Masya-ALLAH!!! Punya rasmi nak berbuka puasa.

Pukul 6 petang, terpampang depan televisyen, bukan nak tengok Jejak Rasul, atau cerita - cerita Indon yang mengarut tu, tetapi nak tengok waktu berbuka puasa. Setengah jam sebelum berbuka, tingkap rumah dibuka seluas - luasnya, sebab nak dengar azan masjid berdekatan. Kalau masjid jauh, maka dibuka radio kuat - kuat.

Sepuluh minit sebelum waktu berbuka, seluruh penghuni rumah dikerah turun duduk di meja makan. Tidak seorang pun boleh buat bising, takut tak dengar bunyi azan. Pada waktu ini juga, mereka akan 'chop' (menempah) lauk - pauk yang ada di atas meja.

Tiba waktu berbuka, maka bermulah 'Perang Dunia' apabila semua orang menyerbu lauk - pauk yang ada di atas meja, takut kena kebas dengan orang lain. Sewaktu makan, semua orang senyap, khusyu' makan (sedangkan nabi ajar kalau makan, bersembanglah. Sebab, waktu inilah kesemua ahli keluarga duduk semeja).

Lalu berulanglah corak ini sepanjang bulan Ramadhan.

Pada tahun 1960-an, berlaku suatu peristiwa yang amat 'mengerikan' yang berpunca daripada kekalutan hendak berbuka puasa, bertempat di masjid sultan di Kelang, Selangor. Pada waktu itu, isyarat masuknya waktu Maghrib ialah dengan melancarkan meriam diraja, apatah lagi di masjid sultan, meriam sultan lah (pada hari ini, di sesetengah tempat seperti Perak, khususnya Kampar, Kuala Kangsar, isyarat masuk waktu Maghrib ialah dengan membunyikan siren selama 1 minit).

20 minit sebelum berbuka, semua jemaah masjid sudah duduk mengadap talam makan. Oleh kerana 'azan' akan dikumandangkan oleh skuad meriam, maka tiada sesiapa pun yang terfikir nak tengok jam, termasuk tok imam, tok bilal, dan tok siak.

Lalu berbunyilah meriam, dan semua jemaah pakat berbuka (baca: serbu talam). Selesai makan dan minum, semua bersiap hendak solat. Tiba - tiba...

Berbunyilah meriam buat kali kedua. Lalu diperiksalah apa puncanya meriam dilepaskan buat kali kedua. Adakah Malaya diserang? Rupa - rupanya...

Letupan yang kedua menunjukkan telah masuk waktu Maghrib. Letupan yang pertama tadi datangnya dari kampung berhampiran; sekumpulan kanak - kanak sedang bermain meriam buluh.

Lalu sia - sialah puasa seharian jemaah tersebut, kerana telah 'berbuka' lebih awal daripada waktu yang ditetapkan. Terpaksalah qada' puasa pada hari tersebut.

Oleh itu, janganlah gelabah, janganlah kalut apabila hendak berbuka. Andai sekiranya waktu Maghrib engkau tak pernah terkejar - kejar nak tunaikan, janganlah engkau gatal - gatal nak terkejar - kejar berbuka puasa. Tak lari ke mana lauk itu.

Kalau takut tak sempat berbuka kerana terperangkap di dalam traffic jam, jangan risau - risau. Sediakan bekalan kurma di dalam kenderaan, andai masuk waktu Maghrib sewaktu sedang memandu. Apatah lagi apabila kerja/kuliah habis pukul 7 petang.
Sesungguhnya Ramadhan menguji kesabaran umat Islam di dalam pelbagai aspek, samada yang kita sedar tentangnya, atau tidak.

No comments: