Saturday, 11 April 2009

Mengapa susah nak sampaikan mesej Islam?

Orang selalu kata, berdakwah ni susah. Memang susah pun. Dalam dunia ini tidak ada suatu perkara pun yang senang sebelum melalui kesusahan.

Demikian juga di dalam bab berdakwah. Kalau masih baru dengan perkara ini, memang susah. Ibarat enjin baru, harus melalui tempoh running-in.

Tiba suatu masa, berdakwah akan menjadi sesuatu yang tidak memeningkan. Bahkan, elemen - elemen dakwah akan terselit di dalam setiap perkara yang kita lakukan seharian, tanpa kita menyedarinya; bersembang, bekerja, pembentangan dll..

Walau bagaimanapun, terdapat juga kes apabila seseorang itu berpengalaman di dalam berdakwah, namun gagal memenuhi objektif;


KHUTBAH

Khutbah sepatutnya ringkas dan tidak terlalu memakan masa. Paling - paling pun 15 minit. Namun, apa yang berlaku, khutbah memakan masa yang lama. Adakalanya melangkau 30 minit. Itupun baru khutbah pertama. Tambahan pula, para jemaah hendak masuk semula ke pejabat pada jam 2.30 petang. Maka, mengenangkan hal ini, semua pakat naik resah, terus hilang tumpuan. Bahkan, ada yang menyumpah - nyumpah khatib sebab 'melalut' memanjang.

Adapun kes yang lain, apabila khatib mempunyai masalah berkomunikasi. Kerana terlalu bergantung kepada teks khutbah Jabatan Agama Islam, maka khatib akan bersyarah dengan nada yang monotonous, serta tidak menarik. Dan ini menimbulkan suasana bosan di kalangan jemaah. Bahkan, ada yang terlena. Betullah kata orang; kalau nak rawat masalah tidur, pergi dengar khutbah Jumaat.

Pada masa yang sama, tajuk - tajuk khutbah sama sekali tidak relavan. Sepatutnya, isu - isu yang disentuh adalah berkenaan dengan hal - hal semasa, peringatan Allah kepada umat Islam.

Namun, apa yang disentuh; buah - buahan tempatan, kewajipan memakai topi keledar, jimat air, kaedah membayar zakat, kepentingan cukai pintu. Kalau gian sangat nak cerita bab - bab ini, ceritalah sewaktu khutbah kedua. Khususkan khutbah pertama untuk memberi inzar kepada para jemaah. Bak kata Ustaz Shahrir Long,

"Tajuk - tajuk khutbah macam ini, hukumnya WAJIB TIDUR!"


PENDEKATAN UMUM

Pepatah Inggeris berbunyi,

"When in Rome, do as the Romans do."

Untuk kita biasakan diri di kalangan sesuatu komuniti, kita harus bergaul dengan komuniti itu. Kalau kita mengambil inisistif untuk tidak bersama dengan mereka, maka kita akan ditinggalkan, bahkan disisihkan.

Acap kali saya melihat, apabila ada program - program dakwah, baik di kampus, mahupun di tempat - tempat umum, akan berlaku satu senario yang luar biasa. Program tersebut dianjurkan oleh golongan "pak syeikh". Yang diraikan, Mat Motor, Mat Blues, Mat Ecstasy, Mat Jiwang, dan Mat Rock.

Sungguhpun program berjalan lancar, tetapi Mat - Mat tersebut pulang dalam keadaan bingung, seolah - olah berada di suatu planet yang asing. Namun, "pak syeikh" pulang dengan ilmu baru di dada.

Apa yang telah berlaku; proses penyampaian mesej - mesej sepanjang program tersebut dilakukan dengan kaedah yang sesuai dan disenangi hanya oleh golongan "pak syeikh", sementara kaedah yang sama tidak selari dengan Mat - Mat yang diraikan. Bahkan, terasa tingginya maqam penyampaian, hinggakan tak tercapai oleh Abang Mat kita. Akhirnya, tak tersalur juga mesej - mesej dakwah.

Ditegur akan kaedah dakwah, maka dituduh hati tertutup...dunia oh dunia.


DISIPLIN DIRI

Adakalanya, dakwah dilakukan menggunakan kaedah one-to-one. Dalam kes ini, harus ada disiplin masa oleh sang pendakwah, yang mana dia harus senantiasa berhubung dengan mad'u-nya. Kalau lost-contact, maka akan ada risiko si mad'u akan melepaskan segala yang telah dia pelajari.

Satu senario yang biasa dilihat ialah pengislaman orang - orang asli. Pegawai - pegawai Agama Islam akan meredah jauh ke dalam belantara menuju ke perkampungan Orang Asli, dan mengislamkan mereka. Selepas daripada itu, para pegawai kembali semula ke kota, dan langsung hilang di kalangan jutaan manusia.

Sementara itu, orang - orang asli tadi berada di dalam status tergantung; tidak tahu ke mana pula hendak dituju. Akhirnya, mereka kembali kepada fahaman asal mereka. Buang karan aje masuk hutan. Adapun yang kembali semula ke perkampungan Orang Asli bukannya untuk mengajar tentang Islam, tetapi bertanyakan bila hendak bersunat. Ceroi punya kaki!

Di dalam kes yang lain, mesej Islam tidak kesampaian kerana gagalnya sang pendakwah dari segi dakwah halus. Contohnya:

Si pendakwah bercerita tentang kepentingan menepati serta menjaga masa. Namun, beliau sendiri yang tidak menghormati masa. Si pendakwah menegaskan haram menghisap rokok, namun mulut beliau bau tembakau. Apabila sudah terjadi hal ini, jangankan hal masa dan rokok, bahkan apa jua yang disyarahkan oleh pendakwah, tak ada seorang pun yang mahu mendengar, kerana bagi mereka,

"Cakap tak serupa bikin..."

Oleh itu ingatlah, dalam kita berdakwah, janganlah mengutamakan kaedah yang kita senangi. Tetapi, utamakan kaedah yang disenangi sasaran kita, selagi mana tidak melanggar syariat. Apabila dakwah tidak user-friendly, maka Islam sendiri takkan menjadi user-friendly. Pepatah Inggeris menyatakan,

"Put yourselves in their shoes."

No comments: