Monday 27 July 2009

Hijrah ke Melbourne - Ketibaan

Kalau dahulukala, perjalananku ke bumi orang dihuraikan sebagai KEMBARA. Kini perjalananku dihuraikan sebagai HIJRAH.

18 Julai 2009, jam 8.15 malam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), setelah bersalaman dan berpelukan dengan mak, abah, nenek, opah serta saudara - mara lain, maka dengan lafaz Bismillah aku melepasi laluan penumpang menuju ke kaunter imigresen sebagai memulakan perjalananku menempuh kehidupan di bumi orang.

Setelah enam bulan aku 'bercuti', akhirnya aku bakal bergelar mahasiswa buat kali kedua. Dan kali ini, perjuanganku bertempat di Melbourne, Australia.

10 tahun lebih merancang, 8 bulan membuat saringan, 2 bulan menanti proses pendaftaran serta pengecualian kredit. Pada malam itu, Allah telah mengizinkan serta memakbulkan hajatku. Bermula dari kaunter imigresen sehingga ke Satellite Building, aku berdebar - debar. Setelah menempuh pelbagai cabaran serta dugaan selama di UiTM, tak ku sangka akan berjaya sampai ke tahap ini.

Namun, ini bukanlah penyudah perancanganku. Bahkan, perjalanan baru sahaja bermula.

Alhamdulillah, aku selamat sampai di Melbourne-Tullamarine International Airport pada jam 7.00 pagi (5.00 pagi waktu Malaysia). Setelah melepasi kaunter imigresen, kaunter tuntutan bagasi, serta kaunter deklarasi, aku muncul di Pintu Ketibaan lantas disambut oleh wakil universiti yang akan membawaku ke tempat penginapanku.

Aku telah menempah kediaman sementara di Student Village. Namun, kerana aku tiba pada hari Ahad, maka aku terpaksa bermalam di hotel selama satu malam. Sebelum berangkat ke Melbourne, aku telah uruskan hal ini. Maka, dari lapangan terbang, aku dibawa ke Footscray Motor Inn & Service Apartments yang terletak sekangkang kera dengan kampus Victoria University.

Setelah selesai memasuki bilik, mandi, dan menunaikan solat, aku bersiap untuk keluar mengambil angin. Hajatku ingin ke kota Melbourne. Namun, kerana masih kuat diselubungi jet-lag (satu fenomena di mana kita berada di negeri orang, sedangkan orientasi fizikal kita masih mengikuti waktu tanah air kita), aku memutuskan untuk hanya merayau di pekan Footscray.

Footscray merupakan salah satu sub-bandar Melbourne. Kawasan ini didominasi oleh orang - orang Vietnam. Kiri kanan, jelas terpampang kedai - kedai orang Vietnam. Di dalam pekan ini juga terdapat dua kedai daging Halal, serta beberapa restoran Halal. Aku mengambil peluang ini untuk makan tengahari, memandangkan sarapan pun belum disantap.

Pada malam itu, aku masuk tidur pada jam 7.15 malam. Oleh kerana sekarang musim sejuk, maka Maghrib menjelma pada jam 5.20 petang, disusuli dengan Isyak pada jam 6.50 petang. Boleh je nak tunggu sampai malam sikit baru tidur. Tapi kerana dilanda keletihan yang teramat sangat, aku terus terlelap.

Pagi esoknya, aku mendaftar keluar dari hotel, dan menaiki teksi menuju ke Student Village di Maribyrnong, di mana aku akan menetap sementara mencari kediaman kekal. Sewaktu di kaunter pendaftaran, aku amat terkejut bila mendapati bahawa kadar bukanlah $35.00 sebulan seperti yang disangka, tetapi $25.00 semalam!!!!!!!

Itu lebih kurang $750.00 untuk sepanjang tempoh 30 hari aku akan berada di situ. Adui, ceroi!

Setelah ditunjukkan unit kediaman, dan setelah berehat, bersiap, dan bersolat, aku keluar semula menuju ke Universiti untuk mengikuti sesi orientasi yang hanya berlangsung pada hari itu sahaja.

Hingga ke saat nukilan ini dikirim, masih belum jumpa kediaman. Adapun cadangan - cadangan daripada beberapa pelajar Malaysia yang sedang membuat Masters di sini, maka telah berlaku salah faham kerana sumber mereka mengenai aku lari sikit.

Disangka mereka bahawa aku adalah pelajar Masters yang datang ke Australia membawa sekali anak dan isteri, sdeangkan kedua - duanya aku masih tak miliki.

Mudah - mudahan Allah mempermudahkan bagiku....



















No comments: