Wednesday, 3 December 2008

Rehlah @ Sedim, Kedah



Pada awal pagi Selasa, seangkatan rombongan terdiri daripada 18 orang sahabat (termasuk seorang yang ponteng praktikal...ceroi punya budak) berangkat meninggalkan Permatang Pauh di dalam 3 buah kereta, dan 4 buah motorsikal memasuki Lebuhraya Butterworth-Kulim menuju ke Lata Sedim, kira - kira sejam perjalanan.

Setibanya kami di tapak perkelahan, kami meredah tebing sungai menghala ke hulu bagi mencari kawasan yang lebih sunyi, kurang atau tiada orang. Kawasan yang kami temui, terletak bersebelahan dengan tapak "Flying Fox". Arus sungai boleh tahan derasnya. Kalau angkat kaki dari dasar sungai, boleh hanyut.

Aksi paling mencabar yang dilakukan, adalah cubaan membuat satu halaqah (bulatan) di dalam sungai, bermusuhkan arus deras Sungai Sedim (lihat klip video). Hatta, beberapa kali terputus talian manusia di dalam usaha mencapai satu bulatan. Namun, yang paling berjaya ialah semi-halaqah :).

Amat menyedihkan bagi salah seorang sahabat, apabila cermin mata beliau hanyut dibawa arus sungai kelior (arah hilir). Nasib baik beliau bukan salah seorang dari kalangan pemandu, dan nasib baik kuasa cermin hanyalah 200+.

Selesai meronyeh di dalam sungai, kami naik ke tebing dan menjamu selera (dibaca: melahap, mentekedarah) spaghetti semangkuk dua. Selesai makan, niat baik nak terjun semula ke dalam sungai. Namun, mengenangkan perut berisi, takut termuntah - muntah dan merosakkan suasana bagi orang - orang yang sedang barmandi - manda nun di hilir sungai. Maka, kami pun menyalin pakaian dan bersiap untuk pulang.

Sedang kami berkemas, seorang ranger datang bertandang lalu bertanyakan siapa ketua di kalangan kami. Maka jari - jari ditudingkan ke arahku (mangkok!!!). Lalu, bersembanglah aku dengan sang ranger, dan mendapati bahawa kami berkelah di kawasan larangan (kawasan reserve Flying Fox), dalam ertikata lain, telah menceroboh.

Aku menjelaskan bahawa kami datang melalui pesisiran sungai, dan bukannya melalui kaki lima yang disediakan pihak taman. Setelah mendengar penjelasan aku, barulah beliau faham macam mana kami boleh terlepas pandang notis larangan yang terletak di tepi kaki lima, yang terletak nun di atas bukit, lantas menjelaskan sejarah wujudnya notis larangan itu.

Selesai berkemas, bergambar, dan memasukkan barang - barang ke dalam bonet kereta, kami berangkat pulang ke Permatang Pauh. Kami tiba di rumah serentak dengan berkumandangnya azan Zohor. Sungguhpun letih, namun rehlah ini amatlah bermanfaat, khususnya di dalam mengeratkan silaturahim si antara kami yang akan meninggalkan Pulau Pinang, dan mereka yang masih belum tamat pengajian.







































































No comments: