Monday, 25 May 2009

Generasi Tanpa Tenaga

Sejak beberapa tahun yang lepas, terdapat banyak produk makanan/minuman yang berasaskan/bercampurkan tongkat ali, kacip fatimah, manjakani, ginseng, serta macam - macam lagi. Kemudian, disusuli pula dengan terserlahnya produk - produk penguat tenaga zahir dan batin.

Sewaktu menuntut di Pulau Pinang, saya selalu makan malam di simpang Kubang Semang. Kaunter bayarannya dimonopoli oleh ubat - ubat penguat tenaga. Bahkan ubat ma'ajun, jika dilihat dari jauh, rupanya mirip model mini peledak kapal selam.

Kalau pergi ke Jalan Masjid India di Kuala Lumpur, tak kurang hebatnya. Macam - macam jenama ada,
  • Cap Superman
  • Tupai Jantan
  • Tarzan Mengaum
  • Turbo
  • Sure-up
  • Awang Perkasa
  • Badang Mengamuk
  • Tok Su Gagah

Hal ini membawa kepada satu persoalan; mengapakah kebanyakan generasi hari ini menyeru kepada ubat - ubatan ini?

Apakah yang menyebabkan mereka senantiasa kekurangan tenaga? Kalau ikut cerita - cerita orang tua, generasi terdahulu tak pernah menghadapi situasi sebegini. Mereka dahulu sihat - sihat belaka. Bahkan, mereka meninggal dunia kerana sakit tua, dan bukannya disebabkan apa - apa penyakit kronik.

Datuk M. Nor Khalid (Lat) di dalam salah satu karya beliau menghuraikan ciri - ciri orang terdahulu (Living to be 100); bahawa mereka akan bangun pada awal pagi, mengerjakan tanah/sawah/ladang, minum kopi O tanpa sebarang ubat - ubatan, hanya herba, dan akhirnya masuk tidur awal.

Generasi hari ini telah menyimpang jauh daripada disiplin jadual kehidupan seharian yang diamalkan oleh golongan sebelum daripada mereka. Mana tidak, dunia sudah berubah, maka corak kehidupan turut berubah.

Corak kehidupan yang ketara dilihat di bumi Malaya ini, khususnya di kalangan golongan muda, mereka akan keluar beramai - ramai di kala malam, dan bergebang di tepi longkang sambil memetik gitar memainkan lagu Duhai Bangsaku.

Adapun golongan muda di kota, mereka akan bergebang di kedai - kedai mamak 24 jam, hisap rokok sekotak dua sambil menceritakan keanggunan markha masing - masing.

Bak kata Dato' Ismail Kamus,

"Kalau masuk waktu Maghrib, kambing pulang ke kandang. Kita pulak, keluar pergi pasar malam. Kambing pulak yang reti balik kandang. Manusia? Kalau nampak kat kambing, tak ke malu kita?"

Kemudian mereka akan pulang ke rumah apabila ayam sedang bersiap sedia untuk berkokok, lalu terbongkang di atas katil hatta matahari meninggi...silap hari hatta matahari tergelincir.

Maka, dengan corak tidur yang sebegini, yang sudah tentunya melawan hukum alam, tidak hairanlah mereka sering berasa kekurangan tenaga, kelesuan, rasa tak best.

Sewaktu menjadi mahasiswa di UiTM dahulu, saya sering memerhatikan ragam pelajar di waktu malam. Mereka suka tidur dengan lampu terbuka...bukan lampu meja atau lampu malam, tetapi lampu kalimantang. Tiba pagi, dalam pukul 8 - 9 pagi, mereka akan bangun, hisap rokok sebatang dua, kemudian basuh muka, tukar pakaian, dan terus pergi kuliah.

Tidur dengan lampu terbuka, sudah tentu tidur tak lena. Dan apabila bangun di waktu pagi, badan akan rasa lesu, kepala rasa berat. Tambahan pula, tidur dengan lampu terbuka sudah semestinya membantutkan penumbuhan sel - sel baru di dalam badan, serta menambah risiko kanser kulit. Mana tidaknya, sepanjang masa kulit terdedah kepada sumber cahaya, baik as-syams di langit, ataupun 'as-syams' yang tergantug di sana sini.

Dengan corak - corak kehidupan sebegini, maka tidak hairanlah generasi hari ini kurang stamina, tak lekang daripada pelbagai penyakit, dan terpaksa mencari sumber - sumber lain untuk meningkatkan stamina serta tenaga mereka.

Oleh itu rakan - rakan sekalian, jagalah kesihatan diri. Amalkanlah kehidupan yang sihat. Setiap diri kita ada peranan di atas muka bumi ini. Sayanglah jika kita terbantut sebelum sempat kita menabur bakti.

1 comment:

Anonymous said...

huhuhu....
tmpg lalu....
bantut2 nie sensitif la.....
(hans_u2002@yahoo.com-nisah)