Sunday 31 May 2009

Walimah



Semalam, aku ke Chemor (luar Ipoh) untuk menghadiri walimah Kak Husna, seorang sahabat senior sewaktu menuntut di Permatang Pauh.

Asalnya, aku tidak bercadang hendak pergi, memandangkan kaki kanan aku kekejangan, dan pagi itu, aku bercadang hendak pergi membuat ujian darah bagi mengesahkan samada aku mengidap gout atau tidak. Namun, appointment dengan Dr. Nasir ringkas sahaja. Beliau mengambil tekanan darah, ambil sampel darah, sembang - sembang kejap.

Alhamdulillah, apabila mengambil tekanan darah, doktor tidak memberi reaksi negatif. Maknanya, OK lah tu. Selama aku kenal Dr. Nasir, kalau beliau melatah, tak bagus tandanya.

Namun, keputusan ujian darah hanya akan diketahui pada hari Selasa. Memandangkan jam baru menunjukkan pukul 9.15 pagi, maka aku mengambil keputusan untuk pergi ke Ipoh.

Sungguhpun kaki aku dah kebah sedikit berbanding 3 hari yang lepas, aku mengambil keputusan untuk membawa tongkat sekali. Manalah tau...

Walaupun berdepan dengan risiko kelihatan macam orang tua, akan tetapi kesihatan dan keselamatan diri lebih mustahak daripada persepsi umum.

Turut bersama aku, 3 lagi sahabat, dan dua buah kereta. Janji hendak berjumpa di R&R Rawang. Namun, oleh kerana salah seorang tersekat di MRR II, ditambah pula dengan kesesakan jalanraya, aku memutuskan untuk pergi dahulu dan menunggu di R&R Tanjong Malim.

Apakan nasib, seorang lagi terlepas R&R Tanjong Malim, lalu beliau mengambil keputusan untuk terus ke Ipoh bersendirian dan pandai - pandai cari jalan.

Dengan keadaan di jalanraya, dan menunggu sahabat lagi seorang di Tanjong Malim, kami tiba di tapak kejadian pada jam 3.15 petang. Waktu itu, ramai dah pulang. Alhamdulillah, sahabat - sahabat lain masih belum beransur. Sewaktu tiba, kaki kanan naik kejang. Nasib baik bawa tongkat.

Dan rezeki aku juga pada hari itu, dapat berjumpa dengan Husni (Boter) yang kemalangan kira - kira sebulan yang lalu, serentak dengan peristiwa demam kuat aku sewaktu naik ke Permatang Pauh.

Selesai makan, sembang - sembang, ambil gambar, maka kami pun pakat beransur. Sebelum berangkat pulang ke KL, aku membawa penumpang - penumpang aku (Abang Din, Mizan, Amirul) pergi bersolat di Masjid Kg. Sungai Rokam, alang - alang nak bawa tengok bandaraya Ipoh, dan juga nak beli limau bali di jalan Simpang Pulai.

Kami tiba di Klang, kira - kira jam 7.40 malam. Selepas solat Maghrib, dan bersembang - sembang dengan sahabat lain, aku berangkat pulang ke rumah. Alhamdulillah, tiada kesulitan di jalanraya....kecuali kes a/cond tak nak sejuk (bawak pergi kedai tadi, rupa - rupanya magnetic coil rosak).

Semoga Allah merahmati pernikahan Raja Nor Husna dengan Ahmad Safuan.

No comments: