Thursday, 21 May 2009

Ukhuwwah: Antara sesama kawan dan sesama keluarga

Akhir - akhir ini, perkataan yang sering tak putus - putus disebut ialah ukhuwwah. Semua ukhuwwah belaka; cinta ukhuwwah, biskut ukhuwwah, pakej ukhuwwah, bahkan nasyid pun tak lekang daripada melafaz - lafaz kalimah ukhuwwah. Tak kisahlah apa ukhuwwahnya sekalipun. Ukhuwwah sesama member, sesama sahabat, sesama ayang dan aling.

Di dalam banyak - banyak penekanan ukhuwwah di antara dua atau lebih orang, tidak pula disebut - sebut, disyair - syairkan, dinyanyi - nyanyikan perihal ukhuwwah sesama ahli keluarga.

Tanyalah kepada sesiapapun akan perihal ahli keluarga, maka jawapannya adalah abang, kakak, adik, mak, ayah. Setakat itu sahaja. Ya, jawapan itu memang betul. Namun, adakah ahli keluarga setakat itu sahaja?

Bagaimana pula dengan tok, nenek, opah, tok wan, tok nek, mak tok? Adik - beradik mereka, ibubapa mereka, sepupu - sepapat mereka?

Bagaimana pula dengan sepupu, dua-pupu, tiga-pupu, empat-pupu, ibubapa mereka, tok nenek mereka?

Sungguhpun mereka jauh sedikit daripada kerabat terdekat kita, tidakkah mereka juga sebahagian daripada keluarga kita? Tidakkah mereka juga bercambah daripada nenek moyang yang sama?

Sewaktu kecil dahulu, saya selalu ikut ayah pergi melawat sanak saudara. Kebiasaannya di sebelah ayah; di kampung sendiri (Kuala Kangsar), Ipoh, Parit, dan Taiping. Sewaktu raya, kami juga melawat sanak saudara di sebelah emak di Teluk Intan, Bidor, Gopeng, dan Tambun.

Alhamdulillah, apabila usia meningkat, saya menghafal secara semulajadi siapa ialah siapa, bagaimana mereka bersangkut dengan kita. Kalau kata terserempak di tengah - tengah lautan manusia, insyaAllah boleh cam mereka.

Sungguhpun saya kenal, bahkan rapat dengan tok nenek saudara (adik beradik tok dan nenek), dengan anak - anak mereka, serta sebilangan dua-pupu, dan tiga-pupu, namun saya sangsi akan ketahanan hal ini. Adakah anak - anak saya kelak akan mengenali siapakah saudara - mara mereka?

Sesungguhnya generasi hari ini, ramai yang sudah tidak mengenali tok nenek saudara mereka, dua-pupu, tiga-pupu mereka, serta salasilah keluarga mereka. Lebih teruk, ada yang sudah mula tidak mengenali sepupu mereka sendiri.

Jikalau generasi hari ini sudah sampai ke tahap ini, bagaimana pula dengan generasi akan datang? Adakah mereka akan mengenali sepupu mereka sendiri? Adakah mereka akan mengenali adik beradik mereka sendiri? Atau, adakah mereka akan mengenali tok nenek mereka...ibubapa mereka???

Generasi - generasi terdahulu berusaha sekeras - kerasnya untuk memastikan hubungan sesama ahli keluarga mereka utuh dan tidak terputus begitu sahaja. Namun, pada hari ini, situasinya adalah jauh berbeza.

Oleh itu, sahabat - sahabat sekalian. Menjaga ukhuwwah sesama sahabat, rakan - rakan memang perlu. Tetapi, jangan sampai ke tahap kita mengabaikan ukhuwwah sesama ahli keluarga. Takkan mantap ukhuwwah sesama sahabat, jika ukhuwwah sesama keluarga (cerucuk segala ukhuwwah) tidak kukuh. Kalau tak sesama sanak saudara yang jauh pun, sesama ibubapa dan adik beradik pun, memadailah. Jangan kita membelakangkan mereka semata - mata nak menjaga ukhuwwah sahabat - sahabat mereka.

Dan jangan sekali - kali mengaku bahawa hubungan sesama sahabat adalah lebih akrab daripada hubungan sesama keluarga (mak, ayah, dan adik beradik).

No comments: