Antara yang diingatkan oleh abah, bahawa masa buat umrah, banyak dugaannya. Daripada apa yang saya baca selama ini, dugaan yang dijangka merangkumi kepanasan, kerenah orang tempatan dan yang berkenaan.
Namun, sepanas - panas cuacanya, waktu itu boleh mencecah sehingga 47 darjah Celcius, tapi, bak kata penagih dadah:
"Gua layan aje, beb..."
Seteruk mana sekalipun kerenah orang, satu perkara yang saya belajar sepanjang mengembara ke sana - sini, kalau nak dihormati orang tempatan, mesti jadi seperti mereka.
Akan tetapi, dugaan yang paling kuat melanda diri bukanlah cuaca, kerenah orang, mahupun nafsu shopping, tetapi golongan makcik dan opah yang turut bersama di dalam rombongan jemaah.
Sepanjang 12 hari, tak sudah - sudah mengumpat dan mengata. Ada dua golongan, satu yang tak boleh tengok orang senang. Selalu, saya yang jadi mangsa keadaan. Semua tak kena. Mentang - mentang kita baru kali pertama sampai Mekah. Pakai serban pergi solat dikata dah alim sangat baru sekali buat umrah. Jalan perlahan dikatanya lembab, pemalas, padahal kecederaan jatuh dari bumbung pada tahun 2003 masih jelas menyebabkan kesakitan pada kaki kiri bila kuat berjalan. Dilihat pulang ke hotel menggengam beg plastik dikata boros, padahal yang dibeli hanyalah air sebotol dan roti, berbanding mereka; asal keluar ke mana - mana, balik pikul guni.
Adapun yang kedua, golongan yang ramah, tapi jakun. Mereka rajin bersembang dengan saya, apatah lagi bila mereka dapat tahu bahawa saya adalah seorang mahasiswa, mulalah. Dipuji tak habis - habis akan keberanian merantau jauh dan macam - macam. Sampai satu tahap, nak diperkenalkan kepada anak dara mereka. Ahh, sudah!!! Rosak tumpuan ibadah aku!
Demikian di antara dugaan yang dialami. Sungguhpun banyak dugaan lain; peminta sedekah yang berkeliaran di pintu masuk Masjidilharam, berpusu - pusu dengan orang lain sewaktu membuat tawaf dan sa'ie, namun semua itu sudah dijangka dari awal. Makcik dan opah tadi bukan sesuatu yang dijangka.
Bukan sahaja umrah, tatapi di dalam bidang - bidang yang lain juga akan ada dugaan yang di luar dugaan, dugaan yang tidak disangka - sangka.
Di dalam dunia mahasiswa, dugaan yang tak terduga ialah antaranya, belajar kuat, tetapi gagal peperiksaan, sedangkan kawannya duduk dalam bilik korek hidung sepanjang hari, tapi lulus peperiksaan dengan cemerlang.
Di dalam dunia pekerjaan / gerak kerja, sesuatu yang dirancang selama berbulan - bulan dengan tidak semena - menanya hancur lebur di dalam sekelip mata. Sesuatu yang dijangka berjalan lancar, tiba - tiba rosak di pertengahan jalan.
Sungguhpun kita menjangkakan beberapa jenis dugaan yang datang melanda, dan bersedia untuk menghadapinya, namun tidak ramai daripada kita yang bersedia untuk menhadapi dugaan tersembunyi / dugaan yang tidak disangka, dan apabila ianya melanda kita, samada kita tabah atau kita melenting sebab dah mati akal.
Sembunyi atau tidak, dugaan tetap dugaan. Dan tidak akan ada manusia yang akan terlepas daripadanya; miskin, kaya, susah, senang, cerdik, bodoh.
وَنَبۡلُوكُم بِٱلشَّرِّ وَٱلۡخَيۡرِ فِتۡنَةً۬ۖ وَإِلَيۡنَا تُرۡجَعُونَ
"Dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan"
(Surah Al-Anbiyaa', 21:35)
وَڪَذَٲلِكَ فَتَنَّا بَعۡضَہُم بِبَعۡضٍ۬ لِّيَقُولُوٓاْ أَهَـٰٓؤُلَآءِ مَنَّ ٱللَّهُ عَلَيۡهِم مِّنۢ بَيۡنِنَآۗ
"Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin)"
(Surah Al-An'aam, 6:53)
Oleh itu, ketahuilah saudara/i ku sekalian, setiap apa yang ditakdirkan oleh Allah ke atas diri kita ada sebab dan hikmahnya. Andai gagal seseorang itu, bukannya dia kalah, tetapi Allah menangguhkan kemenangannya sehingga ke hari yang lain.
Andai tertangguh perjalanan seseorang itu, bukannya kerana dia tak cerdik, tetapi dia diperlukan di mana dia sedang berdiri, atau masih ada yang belum diselesaikan.
Maka, bersabarlah dan tabahlah menghadapi apa jua dugaan yang diturunkannya. Sesungguhnya segala yang berlaku ada kebaikannya pada diri kita, kalau tak hari ini, mungkin pada suatu hari nanti, kalau tak pada kita sepenuhnya, mungkin kepada orang - orang yang lebih memerlukan.
1 comment:
Post a Comment