Tuesday, 23 September 2008

Siapakah yang terbaik dari kalangan anda?

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌ۚ إِنَّ أَڪۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَٮٰكُمۡ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ۬

"(Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan bukan supaya kamu membenci satu sama lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

(Surah Al-Hujuraat, 49:13)


Di dalam kitab The Holy Quran: English translation of the meanings and commentary, ataupun kitab tejemahan al-quran di dalam bahasa Inggeris, terdapat huraian mengenai ayat ini (rujuk komentari #4933).

Huraian tersebut menjelaskan bahawa ayat ini ditujukan bukan hanya kepada umat Islam semata - mata, tetapi kepada seluruh umat manusia di atas muka bumi Allah S.W.T. ini. Bahawa semua manusia berasal dari sepasang ibubapa yang sama (Adam a.s. dan Hawa). Bangsa, puak (suku kaum), dan keturunan, tidak lain hanyalah sebagai satu label umum yang mana daripadanya, kita dapat mengetahui dan memahami ciri - ciri yang membezakan antara satu sama lain.

Bangsa, sesungguhnya terdapat pelbaai jenis bangsa di atas muka bumi Allah ini; Cina, Jepun, Korea, Jerman, Arab, Turki, Parsi, British, Perancis, dan macam - macam lagi. Demikian juga bagi setiap bangsa ada suku kaumnya, dan bagi setiap suku kaum ada keturunannya yang tersendiri.

Di negara Malaysia, ada 3 bangsa utama, iaitu Melayu, India, dan Cina. Melayu sebagai contohnya ada macam - macam jenis; Melayu Minangkabau, Melayu Mendailing, Melayu Bajar, Melayu Rawa, Melayu Jawa, Melayu Bugis, Melayu Pattani, dan macam - macam Melayu lain. Melayu di dalam Melayu.

Setiap bangsa, setiap suku kaum, setiap individu mempunyai ciri - cirinya yang tersendiri. Dan ciri - ciri itulah yang menjadikan setiap manusia berbeza daripada satu sama lain; beza dari segi pengalaman, beza dari segi corak kehidupan, beza dari segi pengetahuan, beza dari segi gaya bahasa, beza dari segala macam aspek.

Dan kerana itulah, manusia dijadikan berbeza - beza dari pelbagai aspek supaya mereka boleh berkenalan sesama mereka, mereka boleh beramah mesra sesama mereka, mereka boleh belajar daripada satu sama lain.

Namun, di dalam dunia hari ini, kerana berlainan bangsa, kerana berlainan puak, maka manusia bertelagah di sana - sini. Sejarah telah menyaksikan dan mencatat peristiwa - peristiwa hitam yang timbul daripada sikap manusia menindas kaum dan bangsa yang berlainan daripadanya.

Siapa tidak lupa kepada penindasan terhadap orang Afrika-Amerika (negro) di Amerika Syarikat?

Siapa tidak lupa kepada peristiwa Apartheid di Afrika Selatan?

Siapa tidak lupa kepada penindasan puak Aborigine di Australia?

Ketiga - tiga peristiwa di atas berlaku sekitar tahun 1960-an, tatkala dunia membangun semula selepas tamatnya era Perang Dunia ke-2, tatkala negara - negara kolonial British (kini digelar negara - negara Komanwel) satu demi satu memerdekakan diri / dimerdekakan menjadi negara yang bebas.

Alhamdulillah, pada hari ini, tidak ada lagi peristiwa - peristiwa di atas, ekoran usaha - usaha tokoh - tokoh ternama menghentikan penindasan antara kaum pada ketika itu, ataranya Nelson Mandela (Afrika Selatan), Martin Luther King dan Malcolm X (Amerika Syarikat).

Sungguhpun begitu, penindasan masih lagi berlaku, sungguhpun tidaklah di dalam skala besar sepertimana peristiwa - peristiwa di atas. Soalnya, apakah dengan memperjuangkan bangsa sendiri, pada masa yang sama menindas bangsa yang lain akan mendatangkan manfaat kepada bangsa tersebut?

Setakat ini belum ada yang berjaya memperkasakan ke-bangsa-annya dengan cara di atas. Kalau ada pun, tiadalah mereka di dalam keamanan, kerana sering dikutuk dari semua arah. Mereka dituduh mencabul hak asasi manusia.

Jangan lupa, kerana memperjuangkan bangsalah maka umat Islam kehilangan kerajaan Turki Uthmaniyyah, melalui semangat 'ketuanan Arab' yang memperjuangkan 'Arabia for Arabs', dipimpin oleh antaranya, T.E. Lawrence (Lawrence of Arabia).

Di antara pesan Rasulullah S.A.W. semawktu Khutbah Wida':

"Semua manusia berasal dari Adam dan Hawa, tidak ada (bangsa) Arab yang lebih mulia dari (bangsa) bukan Arab atau (bangsa) bukan Arab lebih mulia dari (bangsa) Arab; juga tidak ada yang (berkulit) putih lebih mulia dari yang (berkulit) hitam atau yang (berkulit) hitam lebih mulia dari (berkulit) putih..."

Penindasan bukan sahaja boleh berlaku di antara bangsa atau kaum, bahkan boleh berlaku sesama bangsa/kaum, atau lebih khusus lagi sesama rakan/sahabat. Dengan cara apa? Setiap orang datang dari keturunan yang berbeza, sungguhpun bangsanya adalah sama, ataupun sma daerahnya. Oleh itu, setiap orang tersebut mempunyai ciri - ciri yang berbeza, seperti yang dihuraikan di atas.

Maka, di dalam apa jua perkara yang dilakukan, setiap orang ada kreativiti, pendapat, dan hujah masing - masing. Oleh itu, akan berlaku perselisihan. Namun, perselisihan ini adalah fitrah, kerana Allah S.A.W. telah menjelaskan di dalam Al-Quran, bahawa Dia menjadikan umat manusia ini, sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagiannya yang lain (Surah Al-Baqarah, tidak ingat ayat ke-berapa...).

Bukannya bermakna manusia ini dijadikn untuk bermusuh, tetapi, di dalam proses mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu masalah yang tertentu, memang akan berlaku perselisihan sesama ahlinya. Untuk apa? Untuk menentukan pandangan siapa yang terbaik untuk dipraktikkan pada saat dan ketika itu (melalui perdebatan, penghuraian hujah dsb.).

Perkara ini tidak menimbulkan perselisihan berbentuk penindasan, tetapi apa yang benar - benar membawa kepada perselisihan berbentuk penindasan, ialah apabila seseorang itu enggan menerima hakikat bahawa orang lain berlainan pendapat, berlainan pendirian, berlainan hujah daripadanya. Ini bukan lagi khilaf, tetapi ego, bodoh sombong.

Kerana dia lupa, bahawa orang lain tidak sama dengannya; dibesarkan, dididik di lokasi dan suasana berbeza, pengalaman kehidupan yang berbeza, pendedahan yang berbeza, kehidupan yang berbeza.

Dengan sebab itulah, maka tidak terlintas di dalam dirinya untuk mengenali sahabatnya dengan lebih mendalam bagi mempelajari ciri - ciri sahabatnya.

Lalu, tiadalah dia terbuka terhadap pandangan - pandangan yang lain atau tidak serupa dengan pandangannya, bahkan sempit pemikirannya. Lantas dituduhlah sahabatnya itu dengan segala yang melukakan serta memedihkan.

Kerana ego lah, kerana bodoh sombonglah, dunia kita pada hari ini yang sepatutnya aman dan makmur, tidak sunyi daripada isu - isu penindasan sesama manusia.

Oleh itu, janganlah pandang rendah terhadap sesama manusia, hanya kerana mereka berbeza daripada kita di dalam pelbagai aspek. Fahamilah mereka, dan pelajarlah daripada mereka akan segala apa ilmu yang ada pada dirinya, dan ajarkanlah juga segala apa ilmu yang ada pada diri kita. Pepatah Melayu mengatakan,

"Tidak kenal maka tak cinta".

Ingat, Allah jadikan manusia ini berbeza - beza bukan supaya manusia boleh saling menindas di antara satu sama lain, tetapi supaya wujud di dalam diri manusia ini keinginan untuk berkenalan, untuk beramah mesra, dan untuk mempelajari daripada satu sama lain, agar dunia ini menjadi makmur, aman, dan bahagia.

Fikirkan, kalau manusia semuanya sama dari segala aspek; warna kulit, wajah, bangsa, pemahaman, pendirian, dan sebagainya, tidakkah menjemukan? Tiap - tiap hari berdepan dengan orang yang sama sahaja.

Renung - renungkanlah...

Semulia - mulia manusia di sisi Allah adalah yang paling tinggi ketaqwaannya.

No comments: