Sunday, 21 September 2008

Perlu vs Mahu


Terkadang aku rasa sebak apabila melihat keadaan sesetengah manusia memercik keringat hari demi hari semata - mata hendak melihat adanya lauk di atas meja makan.

Sungguh kasihan melihatkan akak dalam gambar di atas mencari rezeki dengan menjual jeruk di pasar - pasar. Anak kecil yang mengikut ibunya keluar mencari rezeki keletihan menanti ibunya selesai menjaja, hatta terlelap langsung di bawah meja, ditemani bunyi bising, bahang, dan habuk jalanan.

Sedangkan anak - anak orang yang lain apabila keletihan, akan melayan mimpi di atas katil ditemani beruang 'teddy' sampai empat lima ekor, tak termasuk Mickey Mouse dan sahabat - sahabat beliau 'alaihim ajma'iin, tak kira ibubapanya berada di rumah atau keluar mencari rezeki.



Namun aku turut kehairanan, apabila aku melihat sesetengah golongan manusia yang lain; mampu memiliki segala yang zahir, hidup dalam kesenangan, sanggup memainkan watak peminta sedekah jalanan, bukan kerana hendak bermuhasabah, tetapi kerana mengejar keduniaan semata - mata.

Sungguh pelik apabila melihat gambar di atas; suasana di kompleks 1-Utama di Damansara Utama, Petaling Jaya yang memperlihatkan orang ramai 'berkhemah' demi mencuba nasib mendapatkan Playstation 3 (PS3) yang berharga RM1599.00, yang dikatakan lengkap dengan built-in WiFi, Blu-Ray compatible, High Definition atau HD (resolusi skrin A-Class punya), dan terhad bilangan stoknya.

Hakikatnya pada hari ini, ramai manusia lupa bahawa adanya perbezaan di antara KEPERLUAN dan KEMAHUAN. Keperluan, mesti ada, kalau tidak tak jalan hidup. Kemahuan, kalau ada hidup jalan, tak ada pun hidup tetap jalan.

Kerana nafsu, kerana mahu dipuji, kerana mahu disanjung, maka ramai yang sanggup mengetepikan apa yang mustahak baginya, dan mengutamakan apa yang memuaskan nafsu, tanpa mengira mampu atau tidak.

Tiadalah aku menyalahkan mereka yang mampu, hatta segala yang mustahak telahpun diperoleh, dan ada baki untuk benda - benda lain, tetapi aku hairan melihat orang - orang yang sebaliknya; MEWAH TAK KENA ORANG.

Sering aku lihat di jalanan, telefon bimbit mewah lagi mahal, kereta diubahsuai tahap ganas (kadang - kadang ganas sangat sampai dilihat ibarat tongkang pecah), sedangkan anak isteri yang ikut di belakang pakaian mereka lusuh, berserabut. Aku terkenangkan si anak yang masih kecil; wajahnya kebingungan cuba memahami hakikat dunia ini.

Apabila terkenangkan situasi - situasi di atas, terkadang aku menjadi pucat, terketar - ketar, mengenangkan, apabila sampai giliran aku, adakah aku mampu untuk menjalani kehidupan aku berdasarkan apa yang dan hanya yang aku mampu, dengan tidak menurut tuntutan nafsu menyeru kepada segala yang di luar kemampuan aku? Adakah mampu bagiku untuk berwatak sederhana tak kira kalau aku mewah atau sebaliknya?

Oleh itu, muhasabahlah diri kita. Apakah kita menyeru kepada apa yang menjadi keperluan kita, atau kita menyeru kepada apa yang menjadi tuntutan nafsu kita? Utamakanlah apa yang menjadi keperluan buat diri kita. Islam meletakkan hal ini di bawah kategori Fiqh Al-Muwazanat*.

Sesungguhnya setiap sesuatu itu, baik kesenangan, kesusahan, kemahuan, keperluan adalah ujian Allah terhadap manusia untuk melihat siapakah yang terbaik di kalangan mereka (dari segi amalnya).

كُلُّ نَفۡسٍ۬ ذَآٮِٕقَةُ ٱلۡمَوۡتِ‌ۗ وَإِنَّمَا تُوَفَّوۡنَ أُجُورَڪُمۡ يَوۡمَ ٱلۡقِيَـٰمَةِ‌ۖ فَمَن زُحۡزِحَ عَنِ ٱلنَّارِ وَأُدۡخِلَ ٱلۡجَنَّةَ فَقَدۡ فَازَ‌ۗ وَمَا ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَآ إِلَّا مَتَـٰعُ ٱلۡغُرُورِ (١٨٥) ۞ لَتُبۡلَوُنَّ فِىٓ أَمۡوَٲلِڪُمۡ وَأَنفُسِڪُمۡ وَلَتَسۡمَعُنَّ مِنَ ٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡكِتَـٰبَ مِن قَبۡلِڪُمۡ وَمِنَ ٱلَّذِينَ أَشۡرَكُوٓاْ أَذً۬ى كَثِيرً۬ا‌ۚ وَإِن تَصۡبِرُواْ وَتَتَّقُواْ فَإِنَّ ذَٲلِكَ مِنۡ عَزۡمِ ٱلۡأُمُورِ
"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya). "
(Aali-Imran, 3:185-186)

وَهُوَ ٱلَّذِى جَعَلَڪُمۡ خَلَـٰٓٮِٕفَ ٱلۡأَرۡضِ وَرَفَعَ بَعۡضَكُمۡ فَوۡقَ بَعۡضٍ۬ دَرَجَـٰتٍ۬ لِّيَبۡلُوَكُمۡ فِى مَآ ءَاتَٮٰكُمۡ‌ۗ إِنَّ رَبَّكَ سَرِيعُ ٱلۡعِقَابِ وَإِنَّهُ ۥ لَغَفُورٌ۬ رَّحِيمُۢ
"Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksaNya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
(Al-An'aam, 6:165)

وَهُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضَ فِى سِتَّةِ أَيَّامٍ۬ وَڪَانَ عَرۡشُهُ ۥ عَلَى ٱلۡمَآءِ لِيَبۡلُوَڪُمۡ أَيُّكُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬‌ۗ
"Dan Dialah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa, sedang ArasyNya berada di atas air (Dia menjadikan semuanya itu) untuk menguji kamu: Siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya"
(Hud, 11:7)





*Fiqh Al-Muwazanat: keupayaan untuk menilai mana yang lebih penting diutamakan antara sekian banyak (Masaleh) maslahah (kepentingan), dari sudut kadarnya, pengaruhnya, skop liputannya serta jangka hayatnya.

Ia juga bermakna keupayaan untuk menilai mana yang lebih buruk padahnya dari sekian banyak keburukan yang ada, mana yang paling mustahak (untuk) dihindari terlebih dahulu dan mana pula yang boleh dibiarkan seketika.
(Huraian oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Persatuan Ulama' Malaysia)

No comments: