Monday, 8 September 2008

RAMADHAN MALAYSIA - Episod 2: Berbuka

(sambungan dari Episod 1)

Apabila semakin hampir dengan waktu berbuka, maka semakin bergelora nafsu makan. Yang mengasapkan dapur, akan mula memikirkan resepi yang dahsyat - dahsyat.

Yang melilau di pasar Ramadhan akan membeli apa sahaja yang nampak sedap, kalau boleh satu jenis dari setiap gerai nak beli.

Yang berbuka di kedai makan (i.e. Chicken Rice Shop, Pizza Hut dll.), sejam dua sebelum berbuka sudah 'chop' (menempah) meja makan. Pukul 6 dah siap duduk.

Tiba waktu berbuka, maka dapatlah dilihat juadah yang dibeli/dimasak di atas meja makan. Kalau bersederhana, maka sederhanalah juadahnya. Kalau eksotik nafsu, eksotik - eksotik belaka lah juadahnya.

Kita diajar, apabila masuknya waktu berbuka, maka berbukalah dengan segera. Mulakan dengan sebiji buah kurma. Mengapa? Sebab buah kurma mengandungi kandungan gula yang tinggi, yang berperanan mengembalikan tenaga kepada badan kita.

Satu benda yang sebilangan orang lupa, seharian kita berpuasa perut kita berehat. Maka apabila berbuka, berbukalah perlahan - lahan. Jangan terus melahap. Terkejut perut kita. Kes ini sama dengan enjin kereta yang sejuk.

Apabila menghidupkan enjin yang sejuk, kita kena memandu dengan perlahan - lahan dahulu, lebih kurang 50km/j sehingga enjin mencapai suhu operasi biasa (normal running temperature). Dari situ, baru kita boleh tingkatkan kelajuan kenderaan sedikit demi sedikit.

Kalau hidupkan enjin terus meluru 100km/j, jahanamlah enjin tu di jangka masa yang panjang, sebab sewaktu enjin masih sejuk, minyak hitam masih belum meliputi keseluruhan sistem enjin, maka bergeserlah piston dengan silinder, lalu menghakisnya sedikit demi sedikit. Jangka masa pendeknya, minyak jatuh menjunam, enjin kasar, dan seolah - olah lesu tak ada tenaga.

Sama juga dengan kes berbuka; awal - awal dah melahap, sakit perutlah jawabnya (enjin kasar). Kalau kata perut dia kebal, dia akan kepenatan kemudiannya (enjin lesu tak ada tenaga), yang membawa kepada tak larat nak pergi solat tarawikh, kerana proses metabolisme membuat kita mengantuk, apatah lagi kalau mentekedarah sewaktu berbuka.

Sebaik - baik kaedah berbuka, mulakan dengan memakan kurma dan meminum air. Selepas itu, tunaikan solat Maghrib. Selesai solat, barulah makan, itupun makan yang ringan - ringan seperti kuih - muih, bubur, atau makanan yang cepat hadam (sesetengah ulama' mencadangkan memakan sup sebab senang hadam). Selepas itu, bersiap untuk pergi solat Isya' dan tarawikh. Pulang dari solat tarawikh, baru makan yang berat.

Dengan cara ini, solat Maghrib dapat dikerjakan lebih awal agar tidak terkejar - kejar sewaktu makan, solat Isya' dan tarawikh tidak terlepas atau berasa letih dan mengantuk selama mengerjakannya. Pada masa yang sama, perut ada masa nak mula memanaskan 'enjinnya'.

Jika kita mengimbas sejarah konfrontasi Malaysia - Indonesia dahulu, tentera - tentera Indonesia lebih kurang dua minggu tidak makan. Apabila tiba bantuan makanan, dilahapnya makanan itu sekaligus. Satu periuk sekali harung. Tidak lama kemudian, mereka mati kerana sakit perut (jahanam enjin).

Maka, berpada - padalah ketika berbuka. Sesungguhnya Ramadhan mengajar kita bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, tatapi juga mengawal nafsu amarah kita.

No comments: