Sunday, 7 September 2008

RAMADHAN MALAYSIA - Episod 1:Nafsu Makan

Maka berkunjunglah sekali lagi Ramadhan Karim Al-Mubarak, tatkala diwajibkan ke atas umat Islam untuk berpuasa pada siang harinya. Berpuasa dikatakan dapat menginsafkan kita di dalam beberapa hal, salah satunya mengenangkan kita kepada orang - orang miskin yang kelaparan bukan sahaja pada suatu bulan yang tertentu, tetapi sepanjang tahun, bahkan sebahagian besar daripada tempoh hayat mereka.

Namun adakah kita yang berpuasa ini merasa perit sepertimana peritnya orang - orang Somalia? Adakah kita merasa lapar sepertimana laparnya orang - orang Darfur, Sudan?

Dalam kita berpuasa, kita masih mengagung - agungkan nafsu makan minum, serta nafsu materialistik.

NAFSU MAKAN

Kaya atau miskin, susah atau senang, setiap orang ada nafsu makan. Dan apabila terkenangkan makan, maka setiap individu mempunyai suara yang berbeza menghuraikan kelaparannya.

Orang miskin: "Apakah yang hendak kita makan?"
Orang kaya: "Di manakah hendak kita makan?"
Orang politik: "Siapakah yang hendak kita makan?"


Di dalam dunia hari ini, apa - apa sahaja boleh dijadikan modal atau aset untuk menambah pendapatan mereka. Di dalam bulan Ramadhan, nafsu makan minum orang - orang yang berpuasa turut dijadikan modal, dan hasilnya, wujudlah bazar - bazar Ramadhan di serata negara, yang menyajikan pelbagai jenis juadah, sebahagian daripadanya makanan atau minuman yang tak pernah dilihat di luar bulan Ramadhan.

Pada kebiasaannya, pengusaha gerai - gerai di bazar - bazar Ramadhan terdiri dari peniaga pasar malam, pengusaha warung makan, dan yang sealiran dengannya. Namun, dek kerana keuntungan yang dihasilkan di bazar - bazar Ramadhan, ianya turut menggalakkan golongan eksekutif, CEO syarikat - syarikat besar untuk memohon cuti sebulan dan turut serta meniaga makanan di bazar - bazar Ramadhan. Di kediaman penulis di Subang Jaya,Selangor, tapak bazar juga turut ditempah oleh Pan-Pacific Hotel.

Nafsu makan orang yang berpuasa turut juga digunakan oleh restoran - restoran utama seperti KFC, McDonald's, Pizza Hut, Nando's untuk mengumpan orang - orang yang berpuasa ke kedai - kedai mereka dengan memperkenalkan kombo - kombo berbuka puasa. Nak bagi nampak 'Islamik' sikit, maka disertakan sekali kurma sebiji, dan air selasih ke dalam pakej berbuka mereka.

Pada masa yang sama, hotel - hotel ternama di serata negara turut tidak terlepas daripada merebut peluang keemasan apabila mereka pun turut serta membuat promosi berbuka puasa:

BUFET BERBUKA PUASA HOTEL XXXXX
Tema: Mediterennean, Oriental, Western, BBQ dsb.
Harga: Dewasa (RM 25.00), Kanak - Kanak (RM 22.50)

Berbuka sehingga mencecah RM 25 seorang? Ini bukan berbuka puasa, tetapi MENTEKEDARAH namanya!!!

Kalau ikut pengalaman penulis, apabila makan bufet di hotel, masuk perut kosong, keluar wajib busung, sebab kalau tak busung, hangus begitu sahaja duit kita; bayar mahal - mahal, makan sepinggan. Tambahan pula, tempoh makan bukannya 5 - 10 minit, tetapi melepasi sekurang - kurangnya setengah jam.

Maka, kenang - kenangkanlah, dengan suasana berpuasa pada hari ini, adakah benar - benar kita berpuasa seperti yang dituntut ugama, atau sekadar cukup syarat? Tepuk dada, tanya iman...

Episod 2: BERBUKA

No comments: