Wednesday, 8 October 2008

Aku berasa jiwang...

Baru – baru ini, seorang sahabat berpesan kepadaku, bahawa tiadalah dia kisah kalau aku meloyar buruk (buat kelakar) senantiasa. Namun, beliau memberi amaran supaya tidak bersikap jiwang, kalau tidak, maka gugurlah keahlian Brotherhood aku.

Namun, hakikatnya aku senantiasa di dalam ke-jiwangan, bukan jiwang terhadap kekasih, kerana tiada kekasih dalam hidupku, melainkan Dia dan rasul pilihan-Nya. Akan tetapi, jiwangku adalah pada nostalgia silamku.

Namun, sepertimana kereta memerlukan bahan bakar untuk dihidupkan, samalah juga dengan nostalgia aku; perlunya kepada ‘bahan bakar’. Dan bahan – bahan bakar ini terdiri daripada beberapa elemen, yang membawa kepada nostalgia yang berbeza – beza. Antara elemen - elemen tersebut, ialah mendengar lagu Nat King Cole.

Mendengar lagu Nat King Cole
Sungguhpun pada peringkat awal umurku (zaman aku muda – muda dulu) aku cukup terkenal mempertahankan nasyid berbanding lagu – lagu non-nasyid. Namun, semenjak aku bergiat di dalam aktiviti dakwah umum/dakwah alternatif, aku kembali mendengar lagu – lagu non-nasyid, DENGAN SYARAT!!!

Syarat – syaratnya, lagu – lagu tersebut merupakan lagu – lagu lama (50-an, 60-an, 70-an). Bukan setakat itu sahaja, lagu – lagu tersebut tidaklah melalaikan, tetapi ada mesej tersirat (jenuh buat kajian di Wikipedia). Maka lagu – lagu yang aku terdengar terdiri daripada penyanyi – penyanyi seperti Simon & Garfunkel, Eagles, Beatles, Nat King Cole.

Namun, ada satu penyanyi yang apabila terdengar daku akan lagu – lagu beliau, maka akan tersentuh jiwaku (bagi seorang lelaki, ayat ini amat pelik bagi diriku), iaitu Nat King Cole. Macam mana tu?

Sewaktu menetap di London, England, ada dua kaset sahaja di dalam kereta; Nasyid Al-Arqam dan Nat King Cole. Apabila terdengar lagu – lagu dari salah satu kaset, maka teringat daku akan kehidupanku di London; bas Double Decker, keretapi bawah tanah Underground, Shepherd’s Bush Market, merentasi jalan – jalan kampung Britain yang mana di kiri dan kanan dipenuhi dengan rumah – rumah English Cottage, padang meluas, sungai yang membiru, hutan yang menghijau, serta suasana musim bunga yang tidak terlalu sejuk mahupun terlalu panas.

Pada hari ini, di dalam kereta yang sama, hanya tinggal kaset Nat King Cole; kaset Nasyid Al-Arqam sudah al-ghuyub, bagi pinjam pada kawan, terus lesap tak memasal.

Hakikatnya, pada peringkat awal pengajianku di peringkat IPT (sebenarnya sejak tingkatan lima lagi…tapi masa tu otak tak masak lagi…la ni otak rentung), aku telah memasang niat untuk seboleh – bolehnya menyambung pengajianku di luar negara, pada waktu itu, niatku terpaku pada UK…kini terpaku juga kepada beberapa negara yang lain.

Tapi, apakan daya, pada saat dan ketika ini, aku telah melangkau tempoh pengajian yang sepatutnya. Dalam erti kata yang lain, terlajak semester. Bukannya aku memendam perasaan pada hakikat ini. Mungkin ramai yang berfikir, extend tempoh pengajian adalah alamat buruk. Sebaliknya, bagi diriku, tempoh extend ini adalah di antara saat – saat manis di dalam alam pengajianku (akan ku huraikan di dalam warkah yang lain…kalau aku ada mood).

Dengan kemudahan serta ruang yang diberi Allah kepadaku untuk menamatkan pengajianku, sungguhpun ramai pada ketika ini akan mula berputus asa, aku masih menaruh harapan dan keyakinan masih ada ruang bagiku untuk mencapai niat aku, kalau tak on-the-spot, mungkin pada suatu masa yang sesuai (menuntut ilmu tidak mengenal usia).

Terkadang, aku akan terasa lesu, lantas memikirkan perkara – perkara yang bodoh, khususnya apabila mengenangkan diri yang masih belum habis pengajian, entah bila nak habis? Usia makin meningkat. Pada saat ini, aku seolah – olah nak lupakan segala – gala yang aku impikan. Apatah baru – baru ini, aku ditimpa ujian yang amat berat, apabila aku ditangguhkan status tamat pengajianku.

Apabila aku lesu, biasanya aku akan mendengar lagu untuk melengangkan otak. Namun, apabila lagu – lagu Nat King Cole melangkah masuk, lantas teringatku akan kehidupanku di England. Dari situ, teringat aku akan niatku. Dan dari situ, aku mengenangkan ruang dan kemudahan yang Allah berikan untuk aku terus menamatkan pengajian.

Lalu, setelah mengenangkan semua itu, aku terus bangkit dari kelesuanku, dan terus berusaha menuju ke destinasi yang telah aku tandakan di dalam peta perjalanan hidupku.

Mungkin ramai yang memikirkan sekiranya terpaksa melanjutkan tempoh pengajian, akan memalukan diri, tak berani mengadap kawan – kawan, rasa diri ibarat sampah. Hakikatnya tiadalah begitu. Ya, memang perit bila mengenangkan masa yang berlalu. Namun, apabila dihayati masa – masa itu, banyak perkara bermanfaat yang diperoleh, yang tak mungkin diperoleh kalau tidak dilanjut tempoh pengajian.

Bukannya nak ajak kalian lanjut tempoh beramai – ramai, tapi nak cerita di sini, di dalam apa jua situasi, tak kira pengajian atau apa – apapun, kalau tiada ianya berlaku mengikut perancangan awal, ketahuilah, somewhere within it, ada hikmah tersembunyi. Samada kita jumpa atau tidak hikmah itu, kita kena selam jauh ke dalam jiwa kita dan hayati apa saja yang datang melanda diri kita.

No comments: