Sunday, 19 October 2008

Perihal Kekeluargaan (episod 1: MATERIALISTIK)

(Artikel ini adalah kesinambungan daripada artikel yang dikarang oleh sahabatku, Nasrulhaq yang bertajuk MENCARI KESEMPURNAAN YANG TIDAK BERKESUDAHAN)


Sebut tentang keluarga, ada macam - macam jenis keluarga. Ada yang kaya, miskin, sederhana, bahagia, porak peranda, skema, sempoi, happy-go-lucky, sosial, anti-sosial, dan macam - macam lagi.

Dan bagi setiap keluarga itu ada ciri - ciri keistimewaannya tersendiri, yang hanya boleh dikecapi oleh ahli - ahli keluarga itu sahaja, dan tidak oleh orang luar.

Namun hakikatnya, ramai yang bersikap sepertimana pepatah Melayu, "Diberi kepak, hendak paha pula". Apabila dia melihat kelebihan yang ada pada keluarga yang lain, biasanya materialistik dan spiritual, dia melihat pada keluarganya seolah - olah kekurangan.

MATERIALISTIK
Kita selalu mendengar jenaka mengenai dua suri rumah; apabila salah seorang daripada mereka dengki/cemburu/resah melihatkan kawan tu beli sofa baru, langsir baru, kereta baru, barang kemas sampai 10 - 20 kati dsb., maka akan mendesak suaminya untuk mendapatkan benda - benda yang sama, tanpa memikirkan apakah suaminya mampu, atau wajarkah dibeli pada saat dan ketika itu.

Maka, sama juga keadaannya di dalam perihal keluarga, apabila dia melihat kelebihan yang ada pada keluarga orang lain, maka dia berkehendak kepada benda yang sama. Ada sesetengah keluarga yang mampu untuk menunaikan permintaan, dan ada juga yang tidak mampu. Biasanya dari segi kewangan, tapi ada juga yang dari segi prinsip. Prinsip?

Sewaktu saya kecil dahulu, material yang popular di kalangan kami sewaktu itu ialah Nintendo (sewaktu saya di UK), disusuli dengan Playstation pada tahun 1998. Kawan - kawan saya kebanyakannya ada satu set di rumah masing - masing, tapi saya tidak ada. Abah memang strict tentang hal ini. Jadi, saya tak meminta dibelikan.

Namun, ayah tetap membenarkan main computer game, walaupun spesifikasi komputer pada ketika itu samada minimum atau tidak memenuhi keperluan games semasa. Benda yang paling mahal pernah ayah belikan ketika itu ialah basikal untuk saya berulang - alik ke sekolah menengah.

Saya menunggu bertahun - tahun untuk mendapatkan sebuah basikal. Kerana saya merasa perit menanti kehadiran basikal dalam hidup, saya cukup jaga basikal itu. Tiap - tiap minggu basuh, polish, bubuh minyak pelincir. Sebulan dua sekali, hantar ke kedai buat tuning pada gear basikal (servis percuma, sebab saya baik dengan towkay kedai, kecuali kalau buat alignment rim tayar).

Selepas saya dan kawan - kawan dapat lesen memandu pada penghujung 2003, kawan - kawan saya dibelikan sebuah kereta oleh ayah mereka. Saya pula, diamanahkan kereta Proton ayah yang saya gunakan pada hari ini. Kereta itu cuma ada satu keunikan sahaja; ianya dibeli di London pada tahun 1993 sewaktu kami sekeluarga menetap di sana.

Ada juga kawan - kawan yang pernah cakap pada saya,

"Karim, kereta tu dah tua. Suruh bapak kau jual ajelah, beli yang baru..."

Cukup marah bila dengar ayat - ayat seperti itu.

Namun, sepertimana basikal saya, kereta ini juga saya cukup jaga, cukup sayang; dalam dan luar dicuci seminggu dua sekali, belajar sendiri kaedah - kaedah membuat servis ringan - ringan terhadap enjin, polish 3 bulan sekali. Akhirnya, kereta ini, sungguhpun 'tua', tapi lebih reliable daripada kereta - kereta lain.

Sebab itu kadang - kadang, saya cukup marah, meradang bila ada orang yang buat sepah dalam kereta itu, kotor tak cuci balik. Kerana kita bertungkus - lumus menjaga kereta tersebut, kerana kita tahu susahnya kena hidup dengan kereta ini suatu masa dahulu.

Apa yang hendak dicerita di sini, ada sesetangah orang apabila dia berkehendakkan sesuatu, dia terus dapat. Ada yang bila berkehendakkan sesuatu, bertahun - tahun kemudian baru dapat, dan ada yang apabila dia berkehendakkan sesuatu, samada tak dapat, ataupun tidak sebanding.

Namun, apabila seseorang itu merasai kesusahan untuk memperoleh sesuatu, setelah memperolehnya, dia akan menghargai apa yang diperolehnya itu. Berbanding dengan sesetengah orang yang memperoleh sesuatu tanpa memercik keringat, dia takkan tahu susah senang di dalam memperoleh benda tersebut. Lalu, dia akan kurang mengambil peduli tentang 'kebajikan' benda itu, dan tidak kisah sekiranya rosak, hilang dsb., kerana dia tahu bila - bila masa sahaja dia boleh cari yang lain.

Oleh itu, apabila kita melihat sesuatu kelebihan yang ada pada orang lain, dan kita meminta kelebihan itu, lalu tidak diberi, maka janganlah bersedih. Kalau bukan kerana kewangan, maka ketahuilah ibubapamu hendak agar engkau merasa kesusahan sebelum datangnya kesenangan, mudah - mudahan engkau bersyukur dan menghargainya.

EPISOD 2: SPIRITUAL akan menyusul...

No comments: